GEORGE TOWN : Jumlah pelancong China yang tiba ke Pulau Pinang untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini mencatatkan lonjakan luar biasa iaitu sebanyak 520.2 peratus berbanding tempoh yang sama, kira-kira dua tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, ia sekali gus menjadikan ketibaan pelancong dari negara itu sebagai yang tertinggi berbanding pelancong antarabangsa lain yang tiba ke negeri ini khususnya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).
“Lonjakan ini juga menjadikan China sebagai pasaran kedua terbesar ke Pulau Pinang selepas Indonesia berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menunjukkan peningkatan ketibaan mereka iaitu daripada 26,056 orang pada 2023 kepada 161,599 orang, tahun ini.
“Selain China, jumlah ketibaan pelancong dari beberapa negara lain turut menunjukkan peningkatan yang ketara seperti India iaitu sebanyak 245.1 peratus, Thailand (49.6 peratus), United Kingdom (44.2 peratus) dan Jepun (41.4 peratus),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Hon Wai (PH-Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan Ong Ah Teong (PH-Batu Lanchang) mengenai 10 negara teratas bagi ketibaan pelancong antarabangsa di LTAPP bagi tahun 2025.
Dalam pada itu, Hon Wai berkata, kerajaan negeri kini sedang meneroka pasaran Asia Barat melalui kerjasama Penang Global Tourism (PGT) dengan beberapa syarikat penerbangan serta agensi pelancongan dari Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar dan Oman selain penyertaan dalam Arabian Travel Market (ATM) di Dubai.
“PGT juga membantu memperkukuh promosi digital untuk pasaran Asia Barat dengan mengetengahkan penginapan mesra Muslim, makanan halal, kemudahan mesra keluarga serta pelancongan kesihatan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Tambah beliau, penerbangan terus ke Doha di Qatar melalui Qatar Airways dan ke Dubai di UAE melalui Flydubai kini menjadi pemangkin penting peningkatan pelancong dari rantau tersebut.-UTUSAN










