KUALA LUMPUR: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diingatkan bersedia menghadapi kemungkinan banjir berikutan cuaca hujan tidak menentu sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.
Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Megat Affandi Ismail berkata, calon perlu merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kelewatan jika berlaku keadaan cuaca buruk.
Beliau menasihatkan pelajar untuk memaklumkan segera kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) serta pengawas peperiksaan sekiranya calon terhalang hadir ke pusat peperiksaan akibat banjir khususnya.
Menurutnya, ibu bapa serta calon perlu mengambil berat berkenaan perkara ini memandangkan pada waktu terkini kita sedang berada di fasa musim tengkujuh.
“Calon boleh menduduki peperiksaan di pusat berhampiran jika lokasi asal tidak dapat diakses dan dinaiki air.
“Calon dinasihatkan membawa dokumen pengenalan diri dan menyimpan nombor telefon sekolah untuk dihubungi ketika kecemasan,” katanya pada sidang akhbar selepas menyantuni calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Kiaramas di sini hari ini.
Tambah Megat, JPWPKL turut mengaktifkan bilik gerakan peperiksaan bagi memantau situasi banjir dan menerima laporan kehadiran calon setiap hari.
JPWPKL turut mengingatkan pelajar mengutamakan keselamatan ketika bergerak ke pusat peperiksaan pada hari hujan.
“Khidmat kaunselor sekolah turut disediakan untuk membantu pelajar yang tertekan akibat suasana cuaca atau kesukaran yang dihadapi sewaktu musim peperiksaan SPM.
Beliau turut berkata pihak sekolah di serata Kuala Lumpur telah menyediakan baju seragam sekolah jikalau ada di antara pelajar yang terlibat dengan hujan lebat ataupun banjir.
“Sekiranya mana-mana calon terlibat dengan bencana alam tersebut, mereka boleh pergi ke mana-mana pusat periksaan untuk menjawab peperiksaan atau melaporkan mengenai situasi mereka.
“Tindakan pantas tersebut perlu dilakukan agar calon dapat menjawab peperiksaan dengan lancar dan lebih fokus tanpa sebarang gangguan,” katanya. – UTUSAN










