JAS rakam keterangan individu buang sisa buangan berjadual - Utusan Malaysia

JAS rakam keterangan individu buang sisa buangan berjadual

Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh bercakap kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perak Tahun 2025 di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak telah merakam percakapan tiga individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian pencemaran menyebabkan 17 ekor lembu ternakan mati di Taman Tronoh Baru, Batu Gajah minggu lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr. Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, ketiga-tiga individu berkenaan masing-masing dari syarikat berasaskan automotif dan semikonduktor di Kulim, Kedah dan Perai, Pulau Pinang.

Katanya, individu berkenaan dikenal pasti berdasarkan penandaan atau tagging yang ditemui di mana terdapat nama dan alamat syarikat.

“Dua suspek berasal dari Kulim manakala seorang lagi dari Perai. Ketiga-tiga mereka hadir ke JAS Perak untuk dirakam percakapan dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana bahan buangan itu boleh dihantar ke Perak dan dibuang di kawasan berkenaan.

“Mungkin syarikat telah melantik pihak ketiga atau kontraktor, dan pihak terbabit mengambil kesempatan membuang bahan buangan tersebut di kawasan itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohammad Ezanni mengesahkan, longgokan tong drum dan karung guni plastik yang ditemukan di kawasan padang ragut di Taman Tronoh Baru itu disahkan sebagai sisa buangan berjadual.

Beliau berkata, semakan terhadap penandaan atau ‘tagging’ pada karung guni plastik berkenaan mendapati ia merupakan sisa buangan berjadual yang berasal dari kilang di luar Perak.

Katanya, bahan buangan berjadual yang dipercayai terdiri daripada bahan kimia itu dijumpai dalam bentuk pepejal berwarna-warni.

“Kita percaya sisa buangan berjadual itu dibawa ke lokasi berkenaan untuk dilupuskan secara haram,” katanya.

Menerusi laporan media pada 15 November lalu, seorang penternak kerugian kira-kira RM50,000 apabila 17 ekor lembu ternakannya mati dipercayai akibat termakan rumput yang telah tercemar dengan bahan kimia berbahaya.

Menurut R. Nithiananthan, 38, kejadian itu disedari selepas lembu ternakannya rebah dan mati secara berperingkat antara 5 hingga 8 November lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN