'Jangan jual nama Najib' - Mohd. Puad

‘Jangan jual nama Najib’ – Mohd. Puad

MOHD. PUAD ZARKASHI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal diingatkan supaya tidak ‘menjual’ nama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak susulan dakwaan kononnya dipengaruhi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ia susulan dakwaan Najib dipengaruhi Hamzah untuk menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Perkara itu disuarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi bahawa tindakan mengheret nama Najib dalam konflik dalaman Bersatu ialah tindakan tidak bertanggungjawab dan hanya menimbulkan persepsi mengelirukan rakyat.

“Saya mengingatkan Wan Ahmad Fayhsal supaya jangan menjual nama Najib kononnya dipengaruhi Hamzah. Saya MKT dan sering bersama Najib. Saya tahu apa yang berlaku.

“Najib bertindak secara kolektif dan patuh pada keputusan parti. Tidak ada sebab Najib akan mendengar pujukan Hamzah yang merupakan kaki lompat dan pengkhianat UMNO,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Mohd. Puad, keputusan dibuat Najib dan UMNO pada ketika itu adalah strategi politik untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) 1.0 terlebih dahulu sebelum perubahan kuasa berlaku sekali lagi selepas 17 bulan kemudian.

“Keputusan itu terbukti benar. Selepas 17 bulan, giliran Muhyiddin pula jatuh apabila lapan Ahli Parlimen UMNO termasuk Najib menarik sokongan terhadap beliau.

“Sebab itu Najib dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah menyertai Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Pada masa sama, beliau menempelak Wan Ahmad Fayhsal agar berhenti membuat pendedahan tidak berasas mengenai episod politik itu.

“Nasihat saya kepada Wan Ahmad Fayhsal, berhenti buat pendedahan. Takut lagi banyak pembohongan timbul.

“Lebih baik pujuk 22 Ahli Parlimen Bersatu buat SD menarik sokongan terhadap Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN