Jambatan gantung baharu Taman Negara bakal tarik ramai pelancong asing

Jambatan gantung baharu Taman Negara bakal tarik ramai pelancong asing

ABDUL Kadir Abu Hashim (empat dari kiri) menunjukkan isyarat bagus Kampung Kuala Tahan dijadikan kampung Angkat Perhilitan bersama SK Kuala Sat, Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Taman Negara Pahang, antara destinasi ekopelancongan tertua dan paling ikonik di dunia, bakal menerima nafas baharu dengan pembinaan jambatan gantung bernilai RM4.2 juta yang dijangka siap sepenuhnya akhir tahun ini sebagai persiapan menyambut Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Projek berimpak tinggi itu dilaksanakan di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dengan panjang keseluruhan 750 meter dan ketinggian maksimum 30 meter, menggantikan jambatan lama yang uzur dan rosak akibat dihempap pokok besar beberapa tahun lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jabatan tersebut kini memberikan tumpuan penuh terhadap kerja-kerja pembinaan jambatan gantung baharu itu dan berharap faktor hujan lebat tidak menjejaskan jadual siap projek menjelang hujung tahun ini.

“Buat masa ini keutamaan kami adalah menyiapkan jambatan gantung baharu yang menjadi tarikan utama pelancong di Taman Negara. Cuaca tidak menentu terutama musim hujan sedikit mencabar, namun kami yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas melancarkan Kampung Angkat Madani Kampung Kuala Tahan di sini.

Abdul Kadir berkata, jambatan lama tidak dapat dibaiki kerana struktur asalnya mengalami kerosakan teruk selepas dihempap pokok besar dan memerlukan kepakaran khas untuk proses pembaikan semula.

“Jambatan gantung ini bukan binaan biasa. Ia memerlukan kepakaran teknikal dan keselamatan yang tinggi kerana dibina di kawasan sensitif dalam hutan tropika. Kita bina semula dengan reka bentuk moden tetapi tetap mesra alam.

“Selain memastikan aspek keselamatan, pelbagai kemudahan awam lain sedang dibina seperti jeti baharu untuk ke kawasan permulaan jambatan gantung serta kemudahan tandas awam bagi keselesaan pelancong,” katanya.

Beliau berkata, jambatan gantung itu antara tarikan utama pelancong asing ke Taman Negara, khususnya untuk menyaksikan sendiri fenomena alam semula jadi hutan hujan tropika tertua di dunia dari perspektif udara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN