KUALA LUMPUR: Mengejar cita-cita sebagai pelakon versatil, selebriti, Nadhir Nasar merancang perjalanan kariernya dengan lebih teratur, termasuk mencuba watak daripada genre naskhah berbeza.
Selepas muncul dalam filem Magik Rompak, Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 29, kembali dengan filem komedi Klepet menerusi karakter Jany yang memperkaya portfolionya sebagai pelakon.
Menurut Nadhir, usaha memperbaharui diri sebagai anak seni perlu dilakukan dari semasa ke semasa agar tidak dilihat terperangkap dalam watak stereotaip.
“Sebagai pelakon, adakalanya kita kena berehat daripada membawa watak tertentu agar tidak dianggap skeptikal. Tahun hadapan menjadi tahun kelima saya dalam industri dan ingin tampil versatail. Selepas drama, apa salahnya saya cuba naskhah komedi.
“Setiap tahun kita kena ‘upgrade’ sebab kita belajar setiap hari. Saya tiadalah penanda aras apa-apa dalam kerjaya lakonan cuma perancangan memang ada. Saya serahkan kepada Tuhan yang menentukan.
“Tapi saya tidak pernah rancang tinggalkan drama stesen televisyen dan hanya fokus filem sahaja. Saya akan aktif di dua-dua platform,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Kelepet, di sini, baru-baru ini.
Walaupun tidak bekerja demi mengejar pengiktirafan, Nadhir mengakui menyimpan hasrat mahu menggenggam salah satu trofi pengiktirafan daripada Festival Filem Malaysia (FFM).
“Kalau boleh, memang saya menyasarkan untuk memenangi anugerah di FFM. Semua anugerah adalah terbaik, tetapi untuk menang itu rezeki.
“Kalau diberi rezeki menang, ia adalah sesuatu yang membanggakan kerana kita bekerja keras untuk setiap drama atau filem yang dilakonkan.
“Tiada istilah anugerah mana paling hebat atau tidak, semua anugerah adalah kemenangan kepada mereka yang layak. Kalau tidak menang, saya akan bekerja lebih keras untuk mendapatkan apa yang saya mahu,” katanya. -UTUSAN










