Isu perceraian bukan penghalang saya sertai GV12 - Utusan Malaysia

Isu perceraian bukan penghalang saya sertai GV12

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai pihak mempersoalkan kewajaran penyanyi, Nubhan menyertai pertandingan Gegar Vaganza musim ke-12 ketika proses perceraiannya masih berlangsung di mahkamah.

Ada juga yang berpandangan Nubhan seakan-akan kurang sensitif kerana menyertai pertandingan itu dalam tempoh isu rumah tangganya masih hangat diperkatakan.

Namun Nubhan ada alasannya sendiri terhadap keputusan yang diambil.  Berikut penjelasannya mengenai isu tersebut.

Apa yang membuatkan Nubhan tetap menyertai GV meskipun proses perceraian di mahkamah belum berakhir?
Saya sudah lama tidak menyanyi. Jadi, tidak wajar saya lepaska. apabila pihak Astro memberi peluang untuk masuk GV.
Saya rasa dihargai apabila diterima menyertai masuk bersama-sama penyanyi lain yang sebelum ini melakarkan pelbagai pencapaian.

Sudah berapa kali Nubhan cuba sertai pertandingan ini?
Ini bukan pertama kali saya cuba masuk GV. Tahun lepas saya telah hadir sesi pemilihan. Namun tidak berhasil.
Jadi bila berpeluang pada tahun ini, tidak salah untuk saya cuba dan tak wajar untuk saya lepaskan.

Tidakkah penyertaan dalam GV ini mengganggu proses mahkamah?
Memang bukan satu perkara mudah. Kedua-duanya berlaku serentak tanpa saya duga. Tapi saya terpaksa fokus kepada kehidupan saya dan penglibatan dalam GV.
Saya harap keadaan ini dapat dikendalikan dengan baik. Saya masuk GV bukan untuk main-main. Isu perceraian saya juga perkara yang sangat serius. Jadi saya harus kuatkan mental, teruskan perancangan dan perjuangan seni saya.
Nyanyian pula adalah karier saya. Tak wajar urusan perceraian saya menjadi penghalang untuk saya menyanyi.

Adakah Nubhan sedia berdepan kritikan sebaik sahaja bermulanya GV nanti?
Orang akan sentiasa kritik tindak tanduk kita. Saya tak nafikan, perjalanan dalam GV nanti akan sukar. Cuma saya harap peminat doakan agar urusan saya dipermudahkan.

Apa pula yang boleh Nubhan katakan mengenai hubungan dengan isteri?
Hubungan kami baik, kami kekalkan begitu demi anak-anak yang memerlukan kasih sayang kami berdua.
Saya pun tak dihalang berjumpa anak. Dia juga menjaga anak-anak dengan baik, Alhamdulillah. Jadi tak ada perkara buruk berlaku antara kami.

Adakah Nubhan terasa hati apabila dipersalahkan atas perceraian yang berlaku?
Mereka tidak tinggal sebumbung dengan saya, jadi mereka tak tahu perkara sebenar. Apa pun saya maafkan semua yang menuduh dan melemparkan dakwaan.
Saya tidak menyimpan marah atau dendam sebab saya tahu kita memang tak dapat halang orang daripada berkongsi pandangan mereka.

Apa pula pesanan buat mereka yang mengaitkan perceraian ini dengan ibu Nubhan?
Jangan libatkan ibu saya, dia tak tahu apa-apa. Dia itu, solat zohor pun adakalanya dua kali. Ibu saya sudah 80 tahun. Dia sudah tak larat.
Jadi jangan kaitkan dia dengan isu perceraian saya, dia memang tak tahu apa-apa. Sehari sebelum saya naik mahkamah, saya maklumkan kepada dia mengenai perkara tersebut.
Dia sendiri kata tak mahu campur urusan rumah tangga anak-anak.

Apa pula pesanan Nubhan kepada yang merancang untuk memboikot perniagaan kerana isu perceraian ini?
Rezeki aturan Allah. Saya terima perkara yang menimpa hidup saya ini sebagai satu ujian. Kepada yang mengecam ibu saya, percayalah dia tidak tahu apa-apa.
Saya tak boleh tutup mulut orang daripada bercakap buruk pasal ibu saya. Yang saya boleh minta adalah doa agar Allah lancarkan jalan saya di GV dan perniagaan saya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN