Masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak kini semakin membimbangkan apabila ada yang mengalami berat badan berlebihan seawal usia prasekolah.
Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan fizikal, malah boleh memberi kesan terhadap kualiti tidur, tumpuan serta prestasi pembelajaran mereka di sekolah.
Pakar Pediatrik di Oriental Melaka Straits Medical Centre, Dr. Ng Hui Ying berkata, fenomena obesiti dalam kalangan kanak-kanak kini berlaku lebih awal berbanding dahulu.
Malah, ada kanak-kanak yang sudah menunjukkan tanda risiko kesihatan sebelum memasuki alam persekolahan.
Katanya, isu berat badan sering dianggap sensitif oleh sesetengah keluarga sehingga ada yang mengelak untuk berbincang mengenainya.
Keadaan ini sekali gus menyebabkan saringan kesihatan dan intervensi awal sering tertangguh.
“Jika bayi atau kanak-kanak kecil mengalami kenaikan berat badan mendadak, ibu bapa digalakkan mendapatkan penilaian doktor bagi mengenal pasti sama ada terdapat punca asas atau faktor risiko tertentu,” katanya.
Laporan American Academy of Pediatrics mendapati kira-kira 14.4 juta kanak-kanak dan remaja di seluruh dunia mengalami obesiti, menjadikannya antara masalah kesihatan kronik paling lazim dalam golongan muda.
Di Malaysia, analisis meta pada 2025 mendapati kadar obesiti kanak-kanak meningkat daripada 8.4 peratus pada 1990 kepada 14.5 peratus pada era 2020-an.
Dianggarkan sekitar 30 peratus kanak-kanak berada dalam kategori berat badan berlebihan.

Menilai berat badan kanak-kanak
Menurut Dr. Hui Ying, pakar pediatrik menilai status berat badan kanak-kanak menggunakan carta indeks jisim badan (BMI) berdasarkan piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Bagi yang berusia bawah lima tahun, berat badan berlebihan ditakrifkan sebagai melebihi dua sisihan piawai daripada median pertumbuhan WHO, manakala obesiti pula melebihi tiga sisihan piawai.
Untuk kanak-kanak berusia lima hingga 19 tahun pula, berat badan berlebihan merujuk kepada melebihi satu sisihan piawai dan obesiti melebihi dua sisihan piawai daripada median rujukan WHO.
“Kanak-kanak obes perlu menjalani saringan lanjut. Mereka yang mempunyai berat badan berlebihan dengan dua atau lebih faktor risiko, penilaian tambahan juga disarankan,” jelasnya.
Tanda-tanda
Ibu bapa perlu peka terhadap beberapa tanda yang mungkin menunjukkan risiko obesiti atau masalah kesihatan berkaitan.
Antaranya tekanan darah tinggi, perubahan warna kulit yang menjadi gelap di kawasan lipatan seperti leher dan ketiak, kerap dahaga serta membuang air kecil.
Selain itu, kanak-kanak yang berdengkur ketika tidur, mudah mengantuk pada waktu siang atau sukar memberi tumpuan di sekolah juga perlu diberi perhatian.
Risiko obesiti turut meningkat jika terdapat sejarah keluarga menghidap diabetes, tekanan darah tinggi atau penyakit jantung.
Faktor lain termasuk ibu yang mengalami diabetes semasa mengandung atau bayi yang dilahirkan dengan berat badan tidak normal.
Jika tidak dikawal, obesiti boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti penyakit jantung, diabetes dan masalah hati.
Selain kesan fizikal, kanak-kanak obes juga berisiko mengalami tekanan emosi.
Kajian menunjukkan mereka lebih mudah menjadi mangsa buli serta berisiko mengalami kemurungan dan kebimbangan.
Gaya hidup penyumbang utama
Dr. Hui Ying berkata, kebanyakan kes obesiti dalam kalangan kanak-kanak berkait rapat dengan gaya hidup dan persekitaran harian.
Antaranya ialah tabiat pemakanan yang kurang seimbang, penggunaan peranti elektronik yang berlebihan serta kurang aktiviti fizikal.
Kanak-kanak yang menggunakan peranti atau menonton televisyen lebih daripada dua jam sehari didapati mempunyai risiko obesiti lebih tinggi.
Ini kerana masa skrin yang panjang sering dikaitkan dengan pengambilan makanan tinggi gula, kurang aktiviti fizikal dan tidur yang tidak mencukupi.
Selain itu, data Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2024 menunjukkan hanya separuh kanak-kanak mengambil kesemua lima kumpulan makanan utama setiap hari.
Peranan ibu bapa
Menurut Dr. Hui Ying, ibu bapa memainkan peranan besar dalam membantu anak mengekalkan berat badan yang sihat.
“Kanak-kanak lebih cenderung mencapai berat badan sihat apabila ibu bapa menjadi contoh amalan pemakanan dan gaya hidup yang baik, peka terhadap isyarat lapar dan kenyang anak serta menetapkan rutin harian yang konsisten,” katanya.
Beliau turut menegaskan pemeriksaan kesihatan pediatrik secara berkala penting untuk memantau pertumbuhan kanak-kanak serta mengenal pasti masalah lebih awal.
“Obesiti adalah penyakit kronik yang memerlukan pengurusan berterusan dan kerjasama seluruh keluarga. Intervensi awal amat penting bagi mengelakkan komplikasi jangka panjang,” katanya.
Sehubungan itu, ibu bapa disarankan agar tidak memandang ringan isu berat badan, pemakanan dan corak tidur anak-anak.
Sebaliknya, berbincanglah dengan doktor lebih awal bagi memastikan langkah pencegahan dan rawatan dapat diambil pada peringkat awal.










