SHAH ALAM: Tindakan pemilik-pemilik kenderaan berat yang membawa muatan melebihi had didakwa menyumbang kepada beban masalah penyelenggaraan jalan terutama di kawasan tanah lembut atau gambut.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, jika sesuatu jalan itu direka untuk menahan beban sehingga 30 tan metrik, tindakan lori yang membawa muatan melebihi had menyebabkan strukturnya tidak dapat bertahan.
Menurutnya, tindakan sedemikian menambah buruk faktor sedia ada seperti jenis tanah, hujan lebat, bencana alam dan sebagainya.
“Itu tidak membantu dalam kita menjaga kualiti jalan kita. Memang kalau jalan direka untuk menampung (beban) 30 tan, kalau lori dengan muatan 40 hingga 50 tan jalan, ia tidak dapat bertahan.
“Saya sudah banyak kali sebut di dalam dewan ini, tanah kita sangat lembut, tanah gambut memang akan rosak cepat, kemudian dengan hujan lebat, kekerapan trafik yang tinggi dan berat, menyebabkan banyak isu,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan Belanjawan Selangor 2026, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah itu menegaskan situasi kekerapan lori membawa muatan melebihi had sebagai masalah yang berlarutan.
Selain itu, Izham juga menjelaskan, kualiti jalan tidak wajar dibandingkan dengan negeri lain berdasarkan kepadatan penduduk dan kekerapan trafik yang tinggi dengan beban muatan berbanding di tempat lain.
Justeru, beliau memaklumkan kerajaan negeri bersedia meneruskan penggunaan bahan super fibre mix (SFM) bagi meningkatkan kualiti jalan yang dalam masa sama mengurangkan kekerapan penyelenggaraan.
“Penggunaan super fibre mix (SFM). Kita sudah laksanakan, memang 30 peratus lebih tinggi daripada kos biasa untuk turapan. Tetapi, ia bertahan hampir dua tiga tahun tanpa atau dengan penyelenggaraan minimum.
“Itu kos tinggi, tetapi penyelenggaraan kurang, terbukti memang berjaya. Teknologi sedemikian memang kita akan laksanakan. Sebab itu, kita dari segi jalan secara umumnya bila ada masalah besar jangan kita banding dengan negeri-negeri lain,” ujarnya. – UTUSAN










