KOTA KINABALU: Masalah infrastruktur di Sabah memberi kesan ketara kepada sektor pelancongan negeri itu.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kerajaan pusat sedang berusaha mencari pelbagai bentuk pembiayaan untuk menaik taraf kemudahan di Sabah kerana ia menjadi antara halangan utama bagi industri pelancongan terus berkembang.
“Kita tahu memang ada banyak kekurangan. Sebab itu kita sedaya upaya cari peruntukan bagaimana boleh membantu menaik taraf. Kita boleh bagi pinjaman kepada kerajaan negeri, atau geran ataupun melalui bank komersial. Kita minta mereka bincang dengan pemain industri,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
King Sing berkata, Kementerian Pelancongan telah memulakan rundingan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Kementerian Kewangan bagi mencari kaedah yang boleh mempercepat usaha penambahbaikan infrastruktur pelancongan di negeri itu.
“Kita sudah berbincang banyak kali. Kita tahu masalah yang ada, dan kita tidak boleh marah kerajaan negeri kalau tidak dapat bantu sepenuhnya. Kita pun faham kedudukan kewangan sekarang macam mana. Negara kita besar, banyak kementerian lain juga perlukan peruntukan,” katanya.
Katanya, kerajaan Pusat akan tetap berusaha sebaik mungkin untuk memastikan penambahbaikan infrastruktur pelancongan dapat dilakukan secara berperingkat.
King Sing berkata, mekanisme cukai keluar negara yang sedang ditambah baik berpotensi membantu negeri termasuk Sabah memperoleh dana tambahan untuk menaik taraf kemudahan pelancongan.
“Kita sekarang memang ada outbound tax (cukai keluar negara) tapi ada kelemahan di sana sini. Jadi kita sedang tingkatkan. Kita berharap melalui outbound tax ini, kita boleh dapat lebih hasil untuk membantu negeri-negeri naik taraf infrastruktur,” katanya.
Katanya, cukai seumpama itu bukan perkara baharu kerana ia turut dilaksanakan di negara lain.
“Singapura ada, Thailand pun ada, banyak lagi negara sudah ada. Jadi kita kena work out satu bentuk cukai yang benar-benar berkesan,” katanya. – UTUSAN










