Isu hasil Sabah: Tiada rayuan bukan sebab PRN - PM

Isu hasil Sabah: Tiada rayuan bukan sebab PRN – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Keputusan kerajaan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah bukan disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 29 November ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu.

“Kita sudah buat, malah menaikkan dari RM56 juta kepada RM600 juta.

“Ini bukan disebabkan PRN, kita (kerajaan) sudah terima (keputusan mahkamah). Berbelas kali mesyuarat diadakan yang dipengerusikan Datuk Seri Fadillah Yusof (Timbalan Perdana Menteri II), saya sendiri pengerusikan (perbincangan itu),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Selasa lalu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan kes tersebut sebaliknya akan segera memulakan proses rundingan bersama kerajaan Sabah.

Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa kerajaan menghormati prinsip pemberian khas itu seperti yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Semalam pula, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick mempersoal pendirian AGC berhubung hak 40 peratus hasil Sabah, namun dalam masa sama menyatakan akan ‘merayu kecacatan dalam alasan penghakiman’.

Menurut beliau, kenyataan itu menimbulkan kekeliruan dan mencetuskan persoalan terhadap keikhlasan kerajaan menghormati keputusan mahkamah yang berpihak kepada Sabah.

“AGC kata tiada rayuan, tetapi dalam perenggan sama menyebut akan merayu kecacatan dalam alasan penghakiman. Tiada rayuan, tapi akan merayu alasan penghakiman, ia tetap satu rayuan.

“Pendirian dan pandangan AGC dalam prosiding Semakan Kehakiman itu menyegerakan peletakan jawatan saya dan hari ini, kenyataan AGC memperkukuhkan sebab saya meletak jawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×