Isteri Nubhan dapat hak jagaan anak - Utusan Malaysia

Isteri Nubhan dapat hak jagaan anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menetapkan hak jagaan kekal bagi ketiga-tiga anak penyanyi Ahmad Nubhan Ahamad kepada isterinya, Dr. Afifah Hidayah Tawfek.

Peguam Syarie mewakili Dr Afifah, Datuk Akberdin Abdul Kader, memaklumkan keputusan itu dibuat selepas persetujuan kedua-dua pihak dicapai menerusi perjanjian yang dimeterai majlis sulh.

Ibu mendapat hak jagaan kekal, manakala bapa diberikan hak lawatan dua kali dalam sebulan (minggu pertama dan ketiga).

“Hak jagaan pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha pula dibuat secara bergilir.

“Tiada lagi pertikaian tentang hadanah, semua selesai secara baik. Terma persetujuan pun sudah direkodkan manakala perintah mahkamah telah ditarik balik,” katanya.

Mengulas lanjut, Akberdin berkata undang-undang penjagaan anak-anak yang lazimnya memihak kepada ibu mendorong persetujuan Nubhan berhubung hal tersebur.

“Itu adalah satu kedudukan undang-undang yang mantap. Ibu selalunya akan dapat hak jagaan bagi anak-anaknya yang masih kecil.

“Kami telah mengemukakan perjanjian kepada pegawai sulh dalam prosiding pagi tadi.  Perjanjian diterima dan direkodkan sebagai persetujuan rasmi memandangkan semua terma telah lebih dahulu dipersetujui.

“Perjanjian itu juga sudah disahkan hakim sebagai perintah rasmi mahkamah,” sambungnya.

Nubhan pada tiga September lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah memfailkan hadanah (hak penjagaan) terhadap tiga anaknya, Aafiya, 8, Ahmad Aaffan, 6, dan Afzan Nayille, 3.

Peguam syarie yang mewakilinya, Mohd. Redzuan Ramli, memaklumkan bahawa penyanyi itu telah memfailkan dua tuntutan iaitu hadanah kekal dan interim.

Terdahulu, Nubhan mengejutkan ramai pihak  kerana bertindak menceraikan isterinya selain memfailkan pengesahan lafaz talak.

Mahkamah Rendah Syariah Sepang seterusnya menetapkan 2 Disember ini  sebagai tarikh sebutan kes pengesahan lafaz cerai yang difailkan bekas peserta Akademi Fantasia itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN