‘Inspektor Sheila’ tidak puas hati, buat tiga laporan polis

‘Inspektor Sheila’ tidak puas hati, buat tiga laporan polis

FADIL MARSUS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima tiga laporan yang dibuat oleh seorang wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ melibatkan ketidakpuasan hati terhadap beberapa insiden membabitkan dirinya baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, laporan pertama yang dibuat pegawai itu kerana perasaan tidak puas hati terhadap tangkapan dijalankan terhadapnya di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

“Laporan ini dirujuk kepada laporan asal untuk semakan menurut prosedur siasatan.

“Selain itu, laporan kedua pula dibuat kerana wanita itu mendakwa anggota polis tidak menghormatinya sebagai pegawai kanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, hasil penelitian mendapati kes itu diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebelum dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

Katanya, laporan ketiga dibuat kerana Inspektor Sheila tidak berpuas hati terhadap seorang peniaga makanan di bawah pokok ketapang.

“Kes ini diklasifikasikan sebagai tiada kesalahan dikesan (NOD) selepas semakan mendapati tiada elemen kesalahan,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan wanita itu didakwa menimbulkan kekecohan di sebuah gerai makan di ibu negara sejak semalam.

Dalam video berdurasi 43 saat itu memaparkan berlaku pertengkaran antara wanita terbabit dengan seorang lelaki dipercayai pemilik gerai berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan, wanita itu didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, kelmarin atas pertuduhan menghalang tugas anggota polis di hadapan sebuah restoran, minggu lalu.

Inspektor Sheila atau nama sebenarnya Sheila Sharon Steven Kumar, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian kira-kira 9.30 malam pada 4 November lalu, wanita itu didakwa menuduh anggota polis yang sedang menahan dan memeriksa seorang lelaki warga Pakistan memandu tanpa lesen sah, tidak mengetahui undang-undang.

Wanita terbabit turut mendakwa anggota polis mengugut lelaki warga Pakistan berkenaan selain turut diperlekehkan.

Susulan itu, anggota polis berkenaan kemudian membuat laporan polis sebelum kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil kerana melakukan penghinaan.

Inspektor Sheila telah digantung tugas sejak 23 Jun 2023, berhubung beberapa kes lampau termasuk menghina anggota polis dan mengugut seorang wanita warga emas. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN