KUALA LUMPUR: Sheila Sharon Steven Kumar atau Inspektor Sheila mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menghalang seorang anggota polis daripada menjalankan tugasnya, minggu lalu.
Tertuduh berusia 37 tahun yang telah digantung tugas sejak dua tahun lalu membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
Inspektor Sheila tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dengan diiringi anggota polis dan dalam keadaan tangan bergari.
Pada awalnya, tertuduh menyapa pengamal media yang menunggu di pekarangan mahkamah, sebelum suasana bertukar tegang apabila tertuduh secara tiba-tiba menegur serta memarahi wartawan dan jurugambar yang mengambil gambarnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menghalang seorang anggota polis, Lans Koperal Malvinderjit Singh Teerath Singh, 37, daripada menjalankan fungsi awam dalam tugas rondaan cegah jenayah.
Perbuatan itu dilakukan antara pukul 8.15 malam hingga 8.30 malam di sebuah restoran di Jalan Sultan Azlan Shah, Dang Wangi pada 4 November 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh manakala tertuduh diwakili peguam M. Manoharan.
Ketika prosiding, Hench mencadangkan jaminan sebanyak RM7,000, namun Manoharan memohon ikat jamin RM500 dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama baik kepada polis.
“Jumlah jaminan RM7,000 membebankan keluarga tertuduh, terutama penjaminnya iaitu bapa beliau. Malah, Inspektor Sheila juga telah berkhidmat sebagai pegawai polis selama sembilan tahun,” katanya.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM6,600 dengan seorang penjamin warga Malaysia. Kes disebut semula pada 20 Januari 2026. – UTUSAN










