Inisiatif SK Putra untuk bendung budaya buli

Inisiatif SK Putra untuk bendung budaya buli

GURU-guru SK Putra memantau aktiviti murid-murid menghasilkan rantai kunci yang menjadi medium dalam usaha membasmi budaya buli di sekolah. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Buli menjadi budaya yang kian mengancam murid-murid pada masa kini dan dapat mengundang kesan buruk sekiranya tidak dibendung sejak dari peringkat awal.

Atas kesedaran itu, satu inisiatif telah digerakkan guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Putra, Kangar menerusi Unit Bimbangan dan Kaunseling menerusi pelaksanaan kempen anti buli dalam kalangan murid-murid dengan penghasilan rantai kunci.

Kempen yang menerapkan nilai-nilai positif dalam jiwa murid-murid itu turut dilaksanakan dengan fokus bagi menolak budaya buli daripada terus menular.
Menerusi penghasilan itu, murid-murid juga akan menulis kata-kata positif dan ayat motivasi pada rantai kunci berkenaan bertujuan bagi menyemai nilai-nilai murni dalam jiwa mereka.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Bimbingan dan Kaunseling SK Putra, Zurianie Kasim berkata, melalui kempen berkenaan, pihak sekolah cuba menggunakan medium penghasilan rantai kunci sebagai usaha bagi mengekang budaya buli di samping meningkatkan jati diri murid-murid.

“Inisiatif ini merupakan sebahagian usaha bagi memupuk nilai murni dalam kalangan murid dan turut menjadi terapi minda buat mereka,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zurianie berkata, proses penghasilan rantai kunci itu juga adalah menggunakan shrink paper yang digunting mengikut bentuk dan corak dikehendaki oleh murid-murid terlibat.

 

 

Katanya, kertas itu kemudiannya akan dipanaskan dengan menggunakan pistol haba (heat gun) atau pengering rambut bagi membolehkan ia mengecut dan kemudiannya menjadi keras sebelum membentuk rantai kunci yang dikehendaki.

Murid-murid ini turut menggunakan bahan terpakai seperti lebihan kain, barangan kulit dan pelbagai lagi bagi menghasilkan rantai kunci itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Putra, Wahida Zainal Abidin berkata, inisiatif rantai kunci yang digerakkan menerusi kempen itu turut mengangkat nama SK Putra apabila dinobat sebagai johan dan penerima Anugerah Platinum di bawah projek Soul Key pada Simposium Amalan Terbaik, Inovasi dan

Karnival Pendidikan Kaunseling Kerjaya Peringkat Negeri Perlis Tahun 2025.

Katanya, kejayaan projek itu turut membolehkan SK Putra mewakili Perlis dalam Simposium Bimbingan dan Kaunseling Peringkat Kebangsaan berlangsung di Terengganu pada minggu hadapan.

“Kami namakan projek untuk simposium ini sebagai Soul Key kerana kaunseling adalah berkaitan dengan jiwa, jadi kita terjemahkannya menerusi penghasilan rantai kunci ini.

“Ini semua melibatkan emosi sebab kita sedia maklum ada di antara murid yang mempunyai masalah kehadiran, tak yakin, takut dan pelbagai lagi, maka penghasilan rantai kunci ini dapat menjadi salah satu terapi buat mereka,” katanya.

 

Dalam masa sama, Wahida berkata, murid-murid turut diterapkan dengan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi Projek Soul Key itu di mana mereka perlu menggunakan alatan tertentu bagi menghasilkan pelbagai bentuk rantai kunci tersebut.

Katanya, inisiatif tersebut juga memfokuskan kepada murid Tahap Satu dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dalam meningkatkan lagi kreativiti dan inovasi mereka.

“Dalam masa sama, mereka juga dapat mengasah bakat dalam bidang keusahawanan menerusi Elemen Merentas Kurikulum (EMK) dan selari dengan dasar pendidikan sekarang,” katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Putra, Ahmad Juanda Sakaria berkata, pihaknya berharap usaha yang dilaksanakan oleh guru-guru sekolah itu dapat membantu mengurangkan kes buli dalam kalangan murid-murid.

Katanya, menerusi insiatif itu, guru-guru SK Putra cuba berkongsikan pendekatan yang digunapakai dengan pihak luar untuk dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Kita mahu hapuskan budaya buli ini mungkin susah sikit namun ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan dan memberikan kesedaran buat murid-murid.

“Dalam masa sama, pihak sekolah turut melakukan beberapa inisiatif dalam menangani budaya buli antaranya dengan menjemput Pegawai Perhubungan Polis bagi memberikan taklimat kepada murid-murid,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN