Malaysia fokus tingkat hasil sawit, tiada pembukaan tanah baharu - Utusan Malaysia

Malaysia fokus tingkat hasil sawit, tiada pembukaan tanah baharu

TIMBALAN Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof (dua kanan) diiringi Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani ketika melawat reruai pameran selepas merasmikan majlis pembukaan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, semalam. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memfokuskan peningkatan hasil minyak sawit menerusi pengeluaran lestari daripada tanah sedia ada dan tidak akan mengganggu tindakan penguatkuasaan Indonesia terhadap pencerobohan tanah di negara itu.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Malaysia menghormati kedaulatan Indonesia dan tidak akan mencampuri urusan rampasan tanah yang diklasifikasikan sebagai hutan simpan, yang telah menjejaskan beberapa syarikat perladangan berkaitan Malaysia.

“Ini adalah bidang kuasa di Indonesia. Pada asasnya, kita tidak boleh campur tangan. Kita perlu menghormati undang-undang mereka.

“Apa sahaja tindakan yang mereka ambil dengan pemain industri minyak sawit, itu adalah hak mereka untuk melaksanakan tindakan yang mereka anggap perlu,” katanya kepada pemberita selepas Pameran Minyak Sawit Antarabangsa anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini semalam.

Indonesia dilaporkan telah merampas 9.1 juta hektar ladang melalui inisiatif yang disokong oleh tentera dan merancang untuk membuka 600,000 hektar tanah baharu untuk penanaman kelapa sawit bagi meningkatkan pengeluaran yang lembab.

Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, menyumbang 24 peratus daripada pengeluaran global dan 35 peratus daripada eksport global pada 2024.

Negara juga menghasilkan 19.34 juta tan minyak sawit daripada kira-kira 5.6 juta hektar kawasan tanaman di negara ini.

Johari menegaskan, dasar Malaysia bukanlah untuk membuka ladang kelapa sawit baharu dan sebaliknya bergantung pada kawasan sedia ada.

Ujarnya, kerajaan tetap komited terhadap bahan tanaman yang baik, amalan pertanian yang baik dan peningkatan hasil daripada meluaskan penggunaan tanah.
“Kita sangat jelas dengan apa yang ingin dilakukan. Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita akan menumpukan perhatian supaya tiada lagi penebangan hutan di negara ini.
“Selain itu, kita juga akan memastikan setiap pemain dalam industri ini memulakan dan memastikan mereka diperakui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di setiap peringkat pengeluaran dari hulu, tengah, hingga hilir.

“Langkah ini penting kerana kebanyakan produk kita dieksport ke China, India, dan Eropah terutamanya di Eropah, pematuhan terhadap Peraturan Pembasmian Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) adalah wajib,” katanya.
Beliau berkata, hampir 80 peratus pemain industri sawit kini sudah bersedia mematuhi peraturan EUDR, memastikan produk mereka memenuhi piawaian antarabangsa.
“Dengan langkah-langkah ini, Malaysia berusaha mengekalkan kestabilan eksport sawit sambil menegaskan komitmen terhadap amalan lestari, walaupun berhadapan dengan ketegangan berkaitan isu tanah dengan Indonesia,” katanya.

Mengulas mengenai pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), Johari berkata, ketika ini, pengukuhan mata wang tempatan itu tidak memberikan impak negatif kepada pengeksport komoditi negara terutamanya minyak sawit.

“Ini kerana transaksi eskport produk komoditi negara ketika ini banyak dilaksanakan di dalam dolar AS.

“Jika anda melihat pasaran di seluruh dunia, harga yang biasanya mereka nyatakan adalah dalam dolar AS. Jadi kebanyakan eksport kita, terutamanya ke negara utama akan dilaksanakan dalam dolar AS,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×