KUANTAN: Industri nadir bumi negara bergerak perlahan meskipun Malaysia memiliki potensi besar dalam sektor strategik berteknologi tinggi itu berikutan kurangnya keyakinan dalam kalangan pemimpin terhadap kemampuan tempatan mengurus dan membangunkan sumber berkenaan secara mampan.
Kelewatan memanfaatkan kekayaannya boleh mengakibatkan Malaysia berisiko kehilangan peluang bernilai satu peratus daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang tahun 2050 iaitu lebih RM500 bilion, selain kehilangan potensi 25,000 pekerjaan baharu.
Ia turut membuka ruang kepada kuasa luar terus mendominasi pasaran global nadir bumi yang menjadi rebutan dunia, khususnya bagi sektor tenaga hijau, elektronik dan pertahanan moden.

Pakar perunding nadir bumi, Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, dalam Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini, satu perjanjian perdagangan antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bernilai RM1 trilion dimeterai dan salah satunya berkaitan nadir bumi.
“Namun sehingga kini, maklumat terperinci mengenai bentuk dan pelaksanaan perjanjian itu masih kabur. Dalam pembentangan Belanjawan 2026, hanya disebut dana RM10 juta untuk pemetaan (mapping) sumber nadir bumi yang akan diketuai oleh Khazanah bersama rakan strategik luar negara,” katanya.
Nadir bumi kini menjadi sumber strategik dunia sehingga ada pakar antarabangsa berpendapat konflik global masa depan termasuk kemungkinan tercetusnya Perang Dunia Ketiga mungkin berpunca daripada perebutan sumber tersebut.
Katanya kerajaan perlu melaksanakan dasar dan strategi menyeluruh serta menguntungkan negara dengan langkah utama meneruskan moratorium terhadap eksport bahan mentah nadir bumi sambil memberi tumpuan kepada pembangunan industri tempatan.
“Perlombongan mesti dilaksanakan syarikat tempatan di bawah pemantauan ketat bagi memastikan keselamatan dan pemuliharaan alam sekitar.
Pada masa sama, pemprosesan nadir bumi wajib dilakukan dengan penyertaan ekuiti kerajaan atau syarikat tempatan,” katanya.
Kejayaan loji rintis di Kenering, Perak membuktikan kemampuan kejuruteraan tempatan dalam mengurus proses pengekstrakan dan pemprosesan bahan itu dengan selamat.
“Pakar tempatan sudah mencukupi dan berkeupayaan membangunkan teknologi pemprosesan sendiri hasil penyelidikan serta pengalaman sedia ada.
“Kita ada sumber lebih 18 juta tan nadir bumi mengikut laporan Jabatan Mineral dan Geosains, dan tenaga mahir kita juga cukup serta terlatih. Persoalannya, adakah kerajaan benar-benar yakin dengan kemampuan sendiri?,” katanya.
Beliau menegaskan sebarang kerjasama dengan pihak luar mesti menjamin pemindahan teknologi serta latihan kepakaran tempatan supaya Malaysia tidak terus bergantung kepada tenaga asing.
“Kita tidak mahu hanya menjadi lokasi pemprosesan tanpa mendapat ilmu atau teknologi baharu. Penggantian kepakaran perlu dirancang agar industri ini berkembang secara mandiri.
“Negara-negara ASEAN juga boleh membangunkan ekonomi masing-masing secara adil tanpa perlu tunduk kepada tekanan mana-mana blok kuasa timur atau barat. Apa yang kita perlukan ialah iltizam politik yang kuat, berprinsip dan keyakinan terhadap kemampuan bangsa sendiri,” katanya.
Malaysia ketika ini mempunyai 10 negeri dengan 29 kawasan dikenal pasti mengandungi unsur nadir bumi tempatan jenis Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran dianggarkan RM810 bilion.
Tiga negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang serta dua negeri di utara iaitu Perak dan Kedah merekodkan jumlah melebihi satu juta tan metrik masing-masing.
Terengganu negeri paling kaya dengan sumber itu dengan anggaran 7.2 juta tan metrik bernilai RM362 bilion diikuti Kelantan (2.5 juta tan), Perak (1.6 juta tan), Pahang (1.2 juta tan) dan Kedah (1.1 juta tan).
Badhrulhisham berkata, angka itu membuktikan negara bukan sekadar mempunyai potensi, tetapi sudah berada di ambang kebangkitan industri strategik baharu jika dimanfaatkan secara optimum.
“Apa yang kita perlukan hanyalah keberanian politik, dasar berpaksikan kepentingan negara dan keyakinan terhadap kemampuan rakyat sendiri. Masa depan industri nadir bumi bukan sekadar tentang ekonomi, tetapi juga kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN










