Ieda Moin nafi normalisasi gejala songsang, minta netizen nilai temu bual penuh - Utusan Malaysia

Ieda Moin nafi normalisasi gejala songsang, minta netizen nilai temu bual penuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Ieda Moin, menafikan dakwaan segelintir netizen yang menuduhnya seolah-olah cuba menormalisasikan gejala songsang susulan perkongsiannya dalam program audio siar bersama pengacara, Aidid Marcello, baru-baru ini.

Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abdul Moin, meminta masyarakat menonton temu bual penuh program ‘AididitMyWay’ sebelum membuat sebarang penghakiman berdasarkan klip pendek yang tular hingga menimbulkan salah faham.

“Saya tidak terfikir langsung perkara itu akan menjadi kontroversi. Ketika bercerita, suami dan anak pun ada bersama. Punca isu ini timbul apabila mereka hanya menonton video yang telah dipotong pendek.

“Mereka mula kata saya menormalisasikan budaya songsang. Sedangkan jika ditonton sehingga akhir, saya hanya berkongsi pengalaman hidup dan apa yang pernah saya lalui,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada sidang media drama Sumpah Ibuku, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ieda, kisah mengenai dirinya hampir terjerumus dalam hubungan sejenis hanyalah satu babak dari keseluruhan pengalaman getir yang dikongsi dalam temu bual tersebut.

“Saya bercerita supaya yang buruk dijadikan sempadan dan yang baik dijadikan pengajaran. Bukan untuk menggalakkan sesiapa membuat perkara itu.

“Saya cerita dari awal bagaimana saya murung, sampai pernah pegang anak dan terfikir untuk terjun. Semua itu saya kongsikan untuk menunjukkan bahawa pada akhirnya ada pelangi selepas ujian,” jelasnya.

Ieda turut menegaskan bahawa dirinya bukanlah songsang, sebaliknya pernah hampir tersasar namun segera disedarkan oleh rakan-rakan rapat.

“Saya sudah beritahu, saya ditegur awal oleh rakan-rakan. Mereka pesan saya tidak boleh begitu. Bukannya saya teruskan,” katanya.

Dalam masa sama, Ieda meminta masyarakat agar tidak menyalahkan Aidid sebagai pengendali program tersebut kerana beliau sudah meminta izin sebelum memuat naik klip berkenaan.

“Dia ada tanya sebelum keluarkan dan saya beri izin sebab saya rasa ia bukan isu besar. Bukannya saya buat dosa, saya cuma cerita saya hampir terjerumus tetapi Allah tarik saya kembali.

“Apabila timbul kecaman, dia hubungi saya bertanya sama ada mahu turunkan video itu. Di Facebook pula komen semakin melampau, jadi saya minta dia padamkan kerana tidak mahu perkara itu sampai kepada keluarga dan orang tua sehingga menimbulkan salah faham,” ujarnya.

Terdahulu, Ieda menjadi perhatian apabila klip pendek pengakuannya tular di media sosial. Namun Ieda bersyukur kerana disedarkan awal oleh rakan artis yang banyak membantunya sebelum tersasar lebih jauh.

Bagaimanapun, ramai yang mengecam tindakan Ieda kerana menganggap beliau seolah-olah membuka aib sendiri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN