PETALING JAYA: Pusat ujian cip termaju IC Park 2 dijangka menjadi pemangkin utama dalam melonjakkan Malaysia sebagai hab semikonduktor global, sekali gus mengubah landskap industri teknologi tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MIMOS Berhad, Dr. Saat Shukri Embong berkata, fasiliti baharu itu membuka jalan kepada perkembangan teknologi dan meningkatkan daya saing Malaysia dalam pasaran global.
“IC Park 2 melengkapkan keupayaan negara dalam rantaian nilai semikonduktor. Ia mempercepat masa ke pasaran, mengurangkan kos operasi dan menyokong R&D bertaraf dunia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Tambah beliau, dengan adanya IC Park 2, Malaysia bukan lagi sekadar pusat pembuatan semikonduktor, sebaliknya menjadi hab inovasi dan kejuruteraan teknologi tinggi berasaskan rekaan cip tempatan.
Beliau turut melihat fasiliti itu sebagai ruang untuk memperkasa startup, teknologi SME dan syarikat rekaan cip tempatan melalui akses kepada kemudahan ujian bertaraf dunia.
“Melalui kolaborasi dengan industri, universiti dan agensi kerajaan, IC Park 2 akan menarik pelaburan bernilai tinggi serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran dalam bidang rekaan cip dan ujian semikonduktor.
“Melalui kolaborasi terbuka dan platform prototaip bersama, syarikat tempatan boleh mempercepat inovasi rekaan cip dan menembusi pasaran global,” jelasnya.
Sementara itu, pakar teknologi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Syafila Kamarudin, menyifatkan pelancaran IC Park 2 sebagai kejayaan besar dalam menjadikan Malaysia pemain utama dalam rantaian bekalan semikonduktor dunia.
“Dengan adanya pengujian cip di dalam negara, industri boleh mempercepat pengesahan produk, menjimatkan kos dan mengekalkan kerahsiaan reka bentuk cip,” katanya.
Beliau menambah, pusat itu berpotensi melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang mikroelektronik, kejuruteraan dan kecerdasan buatan (AI) melalui kerjasama antara industri dan universiti.
“Malaysia tidak boleh hanya menjadi pengguna teknologi, sebaliknya perlu menjadi penyumbang kepada inovasi,” jelasnya.
Malaysia melakar satu lagi kejayaan dalam industri semikonduktor dengan pelancaran pusat ujian cip termaju menerusi pelancaran IC park 2 yang bakal menjadi fasiliti pengujian cip bertaraf dunia pertama di Asia Tenggara.-UTUSAN










