PETALING JAYA: Peluang pekerjaan peringkat permulaan untuk golongan belia dijangka meningkat susulan inisiatif Hiredly menawarkan pengiklanan jawatan secara percuma bagi sektor runcit, F&B dan hospitaliti.
Inisiatif itu memberi manfaat langsung kepada anak muda kerana ketiga-tiga sektor berkenaan merupakan antara pintu masuk utama mereka ke alam pekerjaan pertama, selain menjadi industri yang paling banyak menggaji tenaga kerja muda.
Menerusi penghapusan kos pengiklanan, lebih banyak syarikat kecil dan rangkaian perniagaan besar dijangka mengiklankan kekosongan jawatan masing-masing, sekali gus meningkatkan pilihan pekerjaan untuk belia yang baru memulakan kerjaya.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiredly, Derek Toh berkata, majikan dalam sektor berteraskan perkhidmatan sering berdepan cabaran besar termasuk kadar keluar masuk pekerja yang tinggi serta kekurangan tenaga kerja.
“Dengan menawarkan pengiklanan jawatan secara percuma, kami membantu mereka memberi tumpuan kepada pembinaan pasukan yang kuat tanpa perlu risau tentang kos pengambilan.
“Peluasan itu juga menandakan komitmen berterusan Hiredly untuk menyokong perkembangan kerjaya anak muda sejak dari langkah pertama mereka di pasaran kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, Hiredly mahu menjadi platform yang membimbing belia sepanjang perjalanan kerjaya mereka, daripada pekerjaan pertama hingga ke jawatan eksekutif dan pengurusan.
“Matlamat kami ialah membantu rakyat Malaysia berkembang dalam kerjaya mereka, bermula dari sektor perkhidmatan hinggalah ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Inisiatif tersebut dijangka mengukuhkan pasaran pekerjaan belia dan membuka lebih banyak saluran peluang, selain membantu perniagaan dalam industri yang mempunyai permintaan tinggi mendapatkan tenaga kerja yang mereka perlukan. – UTUSAN










