Hentikan pemakaian topi keledar ‘kura-kura’

Hentikan pemakaian topi keledar ‘kura-kura’

SITI Zarina Mohd. Yusof mengetuai pemeriksaan terhadap seorang penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya Op Bersepadu Bersama Agensi di Jalan Syed Abdul Aziz dekat Limbungan, Melaka, semalam. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemakaian topi keledar separuh atau topi keledar ‘kura-kura’ perlu dihentikan kerana ia tidak menjamin keselamatan dan tidak mendapat kelulusan Sirim Berhad (SIRIM).

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka, Siti Zarina Mohd. Yusof berkata, tahap kesedaran dalam kalangan pengguna motosikal di negeri ini masih rendah terhadap larangan pemakaian topi keledar separuh kerana boleh menyebabkan kecederaan serius jika terbabit kemalangan.

“Saya perhatikan masih ramai penunggang dan pembonceng motosikal masih memilih untuk memakai topi keledar jenis ‘kura-kura’ dalam setiap Op Bersepadu yang dijalankan sepanjang tahun ini.

“Topi keledar ini tidak mengikut piawaian daripada segi keselamatan. Ada kata ia cantik dan sangat selesa dipakai tetapi mereka tidak nampak daripada segi keselamatan dan perlindungan,” katanya kepada pemberita selepas Op Bersepadu Bersama Agensi di Jalan Syed Abdul Aziz dekat Limbungan di sini malam semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, JPJ Melaka telah mengeluarkan sebanyak 1,877 notis saman dan 194 notis pula daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas 8,180 kenderaan diperiksa menerusi enam siri Op Bersepadu yang dijalankan sepanjang tahun ini.

Menurutnya, sebanyak 1,285 buah kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APK 1987).

“Pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga berjaya mengesan 18 individu daripada 814 yang telah menjalankan ujian saringan didapati positif pelbagai jenis dadah,” ujarnya.

Jelasnya, sebanyak 16 daripada mereka positif dadah jenis Methamphetamine manakala dua individu lagi didapati positif ganja dan heroin.

Dalam operasi itu juga enurutnya, dua buah motosikal telah disita kerana lesen memandu dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) yang tamat tempoh lebih tiga tahun manakala seorang lagi warga asing tidak memiliki LKM. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN