Pemberian khas 40 peratus berasingan daripada belanjawan tahunan - PM

Pemberian khas 40 peratus berasingan daripada belanjawan tahunan – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemberian khas 40 peratus kepada Sabah adalah berasingan daripada peruntukan pembangunan negeri yang disalurkan melalui belanjawan tahunan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses perangkaan belanjawan dibuat berpandukan peruntukan tetap, mengikut Jadual Persekutuan, Negeri dan Bersama.

Malah katanya, kerajaan setakat ini telah menyalurkan peruntukan lebih banyak daripada yang ditetapkan meliputi kemudahan elektrik, projek Lebuhraya Pan Borneo serta saluran dilakukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).

“Ini saja sudah RM7 bilion hingga RM8 bilion. Jadi kalau memikirkan keperluan 40 peratus (pemberian khas), tentu kita kena lihat belanjawan secara keseluruhannya.

“Sebab ini rundingan penting supaya kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat menerimanya mengikut Jadual negeri atau tanggungjawab Persekutuan. Jadi bila ini diputuskan, kita boleh kira bagaimana kelebihan 40 peratus,” kata dalam sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) sama ada pemberian khas itu ada hubungan silang dengan peruntukan lain diterima Sabah serta takrif hasil bersih yang menjadi hak wilayah berkenaan.

Mengenai takrif hasil, Perdana Menteri berkata, setakat yang disediakan Kementerian Kewangan, sebahagiannya membabitkan masuk cukai langsung, cukai tak langsung, hasil bukan cukai dan hasil petroleum.

Beliau juga menyanggah dakwaan pembahagian hasil petroleum dibuat berdasarkan perkiraan 95 peratus diberikan kepada Kerajaan Persekutuan, manakala bakinya untuk kerajaan negeri.

“Ini tak betul. Perkiraan ini tak tepat kerana ada (aspek) pelaburan, hutang dan kerjasama dengan Petronas. Namun, kita terbuka untuk membuka maklumat bagi rundingan.

“Berapa cukai langsung (bagi Sabah)? Umpamanya pada 2024, (bernilai) RM58 bilion, manakala cukai tidak langsung pula RM1.5 bilion. Itu semua dimasukkan (dalam perkiraan),” katanya.

Perdana Menteri berkata, perbelanjaan diperuntukkan bagi Sabah kemudian meningkat kepada RM17.3 bilion pada 2025, diikuti RM17.6 bilion tahun hadapan, jumlah tertinggi diberikan terhadap wilayah itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×