PETALING JAYA: Keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi terhadap hak perlembagaan Sabah mengenai 40 peratus pemberian khas hasil negeri disifatkan perkembangan positif, tetapi perlu diterima dengan berhati-hati.
Bekas Presiden Sabah Law Society (SLS), Roger Chin berkata, keputusan itu menunjukkan pengiktirafan jelas Putrajaya terhadap hak perlembagaan Sabah yang telah termaktub sejak pembentukan Malaysia.
Bagaimanapun, katanya, langkah kerajaan untuk memfailkan rayuan terhadap sebahagian alasan penghakiman perlu diperhatikan dengan berhati-hati kerana ia boleh mempengaruhi cara isu ketidakpatuhan lampau dan tuntutan tunggakan hasil ditangani.
“Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu terhadap keputusan yang mengesahkan hak 40 peratus Sabah, namun berhasrat memfailkan rayuan terhadap dapatan berkaitan penyalahgunaan kuasa dan perintah semakan kewangan.
“Ini bermakna, hak 40 peratus itu kekal sah dan pelaksanaannya mesti diteruskan melalui rundingan bersama kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, akhbar ini melaporkan kerajaan tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas Negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh SLS.
Jabatan Peguam Negara dalam kenyataan memaklumkan, keputusan tersebut dibuat oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri kerana menghormati prinsip yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, Chin berkata, rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu dimulakan segera bagi melaksanakan proses semakan di bawah Perkara 112D, seperti disahkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara (AGC).
Katanya, selagi Notis Rayuan belum difailkan, alasan sebenar rayuan belum dapat dipastikan namun dijangka tertumpu kepada dua perkara utama iaitu dapatan penyalahgunaan kuasa dan ketidaksahan Perintah Semakan Kedua, Ketiga dan Keempat yang dibuat sejak tahun 1974.
Jika Mahkamah Rayuan membatalkan dapatan berkenaan, katanya, ia boleh memberi kesan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung isu “Tahun-Tahun Hilang” (1974–2021), termasuk kemungkinan tuntutan tunggakan tidak lagi perlu dibayar.
“Sebaliknya, jika rayuan ditolak, dapatan salah guna kuasa dan ketidaksahan perintah semakan kekal, dan bayaran bagi tempoh berkenaan perlu dilunaskan.
“Walau apa pun keputusan rayuan kelak, hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil tetap terpelihara ke hadapan,” katanya.
Chin berkata, penerimaan kerajaan untuk memulakan rundingan segera juga bermakna Putrajaya mengakui perintah mandamus Mahkamah Tinggi bagi menjalankan semakan kewangan yang sah dan tepat pada masanya.
Katanya, keputusan itu merupakan detik penting yang memerlukan kejelasan, komitmen dan keadilan perlembagaan agar janji kepada Sabah tidak tinggal sekadar di atas kertas. – UTUSAN








