SLS pantau prosiding inkues kes Zara Qairina

SLS pantau prosiding inkues kes Zara Qairina

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sabah Law Society (SLS) akan memantau prosiding inkues serta sebarang tindakan undang-undang berhubung kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan semua pihak berkepen­tingan di Sabah bagi memastikan tragedi ini membawa kepada pembaharuan dalam usaha melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk ancaman.

Katanya, SLS juga menyambut baik keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan prosiding inkues dijalankan di bawah Seksyen 339 (1) Kanun Tatacara Jenayah bagi menyiasat punca kematian mangsa.

“Inkues adalah proses kehakiman bebas yang akan meneliti punca dan keadaan kematian, menentukan sama ada wujud unsur jenayah serta memastikan semua fakta re­levan dibawa ke pengetahuan umum.

“Hasil inkues ini akan menjadi asas kepada AGC untuk memutuskan sama ada pendakwaan perlu dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Nazim berkata, keputusan untuk meneruskan atau tidak sesuatu pendakwaan bergantung sepenuhnya kepada dapatan inkues serta kekuatan bukti mengikut undang-undang, selaras dengan prinsip menjaga integriti proses keadilan.

“Perbuatan buli, sama ada secara fizikal, lisan, psikologi atau dalam talian, tidak boleh diterima dalam apa juga keadaan, khususnya di sekolah.

“Malah, pindaan terbaharu Kanun Keseksaan (Seksyen 507B hingga 507G) merupakan langkah penting untuk memerangi perbuatan buli dengan menetapkan pelbagai bentuk perlakuan zalim sebagai jenayah serta mengenakan hukuman berat sekiranya ia mengakibatkan kecederaan, cubaan membunuh diri atau kematian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN