JOHOR BAHRU: Harga pas perjalanan perkhidmatan Bas.My di seluruh negara bakal diturunkan daripada RM50 kepada hanya RM30 sebulan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat rakyat malah mampu menjimatkan RM200 hingga RM300 setiap bulan.
“Kita tahu ada yang tinggal di Kulai, Pasir Gudang atau kawasan luar Johor Bahru dan bergantung sepenuhnya dengan bas untuk ke tempat kerja. Dengan pas RM30 ini, mereka boleh berjimat besar.
“Inisiatif itu hanya terpakai untuk warga negara Malaysia, manakala bukan warganegara masih perlu membayar tambang penuh.
“Penurunan harga pas itu juga akan diperluaskan ke semua negeri yang mempunyai perkhidmatan Bas.My supaya lebih ramai rakyat menikmati manfaat sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti Bas.My Johor Bahru di Hentian Bas Sutera Mall di sini hari ini.
Siew Fook berkata, warga emas berusia 60 tahun ke atas, golongan orang kurang upaya (OKU), pelajar sekolah serta mahasiswa universiti awam dan swasta akan terus menikmati tambang percuma.
Dalam pada itu, Siew Fook berkata, perkhidmatan Bas.My Medic juga bakal dilancar menjelang hujung tahun ini bagi membantu pesakit mobiliti terhad termasuk pengguna kerusi roda ke hospital dan pusat dialisis. – UTUSAN










