SEPANG: Penyanyi, komposer dan penerbit muzik terkenal, Hafiz Hamidun,dilantik sebagai duta rasmi Pakej Haji 2026 bagi syarikat Jay Ibrahim Al Islam, iaitu antara 37 syarikat Perkhidmatan Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang secara rasmi dilantik oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk musim haji tahun hadapan.
Menurut Hafiz, dia amat menghargai amanah yang diberikan dan melihat peranan ini sebagai peluang untuk membantu lebih ramai umat Islam menunaikan rukun Islam kelima mengikut kemampuan masing-masing.
“Saya sangat menghargai kepercayaan ini. Ibadah haji merupakan kemuncak perjalanan spiritual seorang Muslim.
“Hasrat saya ialah membantu lebih ramai jemaah mendekati ibadah ini dengan hati yang tenang, ilmu yang mencukupi dan persediaan yang rapi,” katanya.
Hafiz turut menambah, pelantikan tersebut merupakan langkah strategik untuk memperkukuh pendekatan spiritual yang lebih dekat dengan masyarakat, khususnya generasi muda dan keluarga moden yang mahu memahami ibadah haji bukan sekadar perjalanan fizikal, tetapi juga sebagai penyucian rohani.
Sementara itu, Pengarah Urusan Jay Ibrahim Al Islam, Muhammad Jay Ibrahim menjelaskan pemilihan Hafiz bukan semata-mata sebagai kerjasama promosi, tetapi untuk membina pendekatan bimbingan haji yang lebih berfokus kepada pengisian rohani.
“Kami yakin Hafiz Hamidun memiliki keseimbangan antara pengetahuan agama, pengaruh positif serta keperibadian dalam bidang seni Islamik.
“Pendekatan kami adalah untuk membimbing para jemaah melalui perjalanan haji dengan panduan yang sistematik, suasana yang selesa serta penuh hikmah,” ujarnya.
Sebagai syarikat PJH berlesen, Jay Ibrahim Al Islam menawarkan pakej haji menyeluruh yang meliputi bimbingan intensif sebelum keberangkatan, mutawwif berpengalaman, penginapan selesa di Tanah Suci, sokongan kebajikan berterusan, dan pengurusan logistik yang lengkap bagi memastikan keselesaan para jemaah sepanjang menunaikan ibadah.-UTUSAN










