KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpotensi menubuhkan kerajaan tanpa bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Parti Warisan (Warisan).
GRS yang setakat ini memenangi 29 kerusi bersama Pakatan Harapan (satu), STAR (2), KDM (1) serta lima calon Bebas dengan kerjasama boleh memperoleh lebih 37 kerusi untuk membentuk majoriti mudah di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, PH sudah mempunyai jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan gabungan dengan GRS.
Beliau berkata, Pengarah Operasi Jawatankuasa Pilihan Raya PKR, Datuk Amirudin Shari telah bertemu dengan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Nor untuk membincangkan perkara tersebut.
“Insya-Allah, kita dah cukup jumlah untuk bentuk kerajaan malam ini. PH berbesar hati kerana kita menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan dibentuk di Sabah,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini. – UTUSAN










