PETALING JAYA: Tidak mahu ketinggalan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sambil tidak mahu terlepas hari bersejarahnya bergelar graduan, mendorong Muhammad Syafie Dzulkaftah, 23, untuk ke pusat pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah semalam seawal pagi.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) Universiti Putra Malaysia (UPM itu memberitahu, dia terus pulang ke ibu negara selepas selesai mengundi di kampung halamannya di Kota Belud.
“Saya beritahu ibu, ini tanggungjawab saya sebagai belia Malaysia yang dahagakan perubahan.
“Saya bangun seawal pukul 5 pagi untuk mengundi pada pukul 7.30 pagi dan selepas itu terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk pulang bagi menghadiri konvokesyen, katanya ketika ditemui di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang hari ini.
Menurutnya, selepas menamatkan pengajian, dia kini mengusahakan perniagaan perancang acara bersama keluarganya sementara menunggu pengambilan guru sekolah menengah yang dijangka dilakukan tahun hadapan.
Beliau hadir ditemani ibunya, Azmah Elah, 59, yang turut merupakan alumni UPM pada 2006.
Dalam pada itu, seorang lagi graduan, Nur Amirah Ayuni Mohd. Adanan, 24, graduan Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu berkata, kejayaan menjejakkan kaki ke menara gading bukanlah perjalanan yang mudah.
Katanya, pencapaian cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan keputusan 4A 1B tidak kekal apabila beliau gagal memperoleh sebarang A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) selain mencatat lima D, menyebabkan dirinya hampir berputus asa.
“Mak dan ayah mendorong saya menyambung Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dahulu kerana peluang untuk menyambung ke diploma ketika itu agak terbatas.
“Kemudian saya peroleh semua A dalam STPM dan dari situlah hidup saya berubah sehingga ditawarkan ke UPM,” katanya yang pernah bekerja sambilan di restoran makanan segera selain berniaga nasi lemak dan tukang cuci demi menampung kos pengajian.
Sementara itu, graduan Program Doktor Perubatan, Loo Cheng Yee, 25, pula berkata, UPM telah menjadi sebahagian daripada tradisi keluarganya sejak lebih dua dekad lalu.
Menurutnya, beliau merupakan individu kelapan dalam keluarganya yang bergelar alumni universiti tersebut selepas ibu bapanya menamatkan pengajian antara 1992 hingga 1996, diikuti bapa saudara, ibu saudara serta pasangan mereka pada 2003, 2006 dan 2010.
“Saya datang ke konvokesyen UPM setiap tahun sejak 2003, tetapi tahun ini merupakan konvokesyen saya sendiri.
“Dari kecil sudah terbiasa mendengar ayat ‘jom pergi UPM’, jadi tidak hairanlah saya memilih untuk sambung belajar di sini,” katanya yang kini bertugas sebagai doktor di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). – UTUSAN










