Golongan muda beli kosmetik terpakai untuk jimat duit

Golongan muda beli kosmetik terpakai untuk jimat duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Golongan wanita muda cenderung membeli produk kosmetik terpakai bagi memenuhi naluri ingin bergaya dan menjimatkan perbelanjaan. 

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati mereka sanggup berbuat demikian semata-mata untuk menjadi cantik berbanding produk kosmetik berjenama terkenal yang dijual pada harga tinggi sekali gus menyebabkan mereka hanya mampu memasang impian.

Pegawai pemasaran syarikat swasta, Noor Ameerah Atikah Muhammad Azizi, 23, mengakui sanggup dia membeli produk kosmetik terpakai kerana harganya jauh lebih murah berbanding produk baharu.

Katanya, keinginan untuk memiliki barangan sedang tular di media sosial membuatkan dia sukar menahan diri daripada membeli, meskipun ketika itu tidak mempunyai wang mencukupi.

“Kadang-kadang rasa takut ketinggalan itu kuat sangat sampai saya rasa nak juga beli produk tu walau apa cara sekalipun,” katanya ketika ditemui semalam.

Semalam, akhbar ini melaporkan kosmetik berjenama terpakai semakin mendapat permintaan tinggi daripada golo­ngan wanita muda yang ingin gaya mewah, meski­pun tahap keselamatan dan kebersihannya dicurigai.

Kosmetik berkenaan banyak dijual di media sosial dan platform dalam talian yang menya­sarkan wanita muda yang berminat kosmetik berjenama, namun tidak mampu membelinya.

Bagi pelatih industri, Ash Allysa Kyrana, 24, berkata, dia sebagai pelajar yang masih menerima pendapatan di bawah paras gaji minimum dan perlu berjimat berbelanja meskipun mempunyai keinginan untuk memiliki barangan kosmetik.

Menurutnya, membeli kosmetik terpakai bukan sahaja membantu menjimatkan wang, malah memberi kepuasan apabila dapat memiliki produk diingini tanpa menjejaskan perbelanjaan lain.

“Saya masih mampu menampung makan dan tempat tinggal, tetapi kalau nak beli barangan kosmetik, itu dah kira satu kemewahan bagi saya.

“Memang ada pilihan murah di pasaran, tapi saya hanya percaya satu jenama sahaja yang sesuai dengan kulit dan piawaian saya. Jenama terkenal lain pun bagus, tapi saya tidak mampu beli secara kerap,” katanya.

Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA), Nuriy Rusydina Norhasrizam, 23 berkata, dia bukan sahaja membeli malah turut menjual semula barangan kecantikan tidak sesuai digunakan menerusi platform atas talian.

Katanya, platform berkenaan menjadi pilihan kerana mudah dan jaminan pulangan sekiranya barangan tidak diterima atau berlaku sebarang masalah.

“Langkah ini juga membantu menjimatkan kos apabila produk asal dijual pada harga mahal dan mengambil masa lama untuk sampai,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN