Gerakan pengakap bantu KPM tangani isu moral pelajar

Gerakan pengakap bantu KPM tangani isu moral pelajar

MOHD. Ali Mohd. Rustam menyempurnakan Majlis Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat PPM 2025 yang diadakan di Ayer Keroh, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Program Pengakap Berasaskan Komuniti adalah selaras usaha memperkukuh pendidikan bukan formal dan membantu Kementerian Pendidikan (KPM) menangani isu moral serta disiplin pelajar.

Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Prof. Datuk Dr. Mohd. Zin Bidin berkata, ia akan diperluas ke Sabah dan Sarawak tahun depan bagi memberi peluang kepada lebih ramai remaja luar bandar menyertai Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).

“Ramai pelajar sebenarnya berminat menyertai pengakap, tapi di sekolah kuota penyertaan sangat terhad. Melalui pengakap komuniti, mereka masih boleh aktif di kawasan tempat tinggal seperti di rumah pangsa, ladang atau kilang.

“Program ini kita bawa ke Borneo supaya pelajar di Sabah dan Sarawak juga dapat peluang sama berlatih, membina sahsiah, dan menjadi pemimpin muda yang berdisiplin,” katanya selepas Istiadat Penganugerahan Bintang dan Pingat PPM 2025 disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Ayer Keroh di sini, hari ini.

Pada istiadat berkenaan, seramai 569 individu menerima Bintang dan Pingat PPM dan daripada jumlah tersebut 12 individu merupakan perwakilan asing pengakap antaranya dari Amerika Syarikat (AS), Thailand, Singapura dan Taiwan.

Dr. Mohd. Zin berkata, peluasan program juga memberi fokus kepada remaja yang tercicir daripada sistem persekolahan agar tidak terbiar tanpa hala tuju.

“Kita mahu mereka kembali ke landasan positif. Pendidikan pengakap bukan sekadar aktiviti beruniform, tetapi membentuk karakter, semangat sukarelawan dan nilai hormat.

“Apabila pelajar belajar bekerjasama dan berbakti kepada masyarakat, mereka lebih mudah mengawal emosi dan mengelak gejala sosial,” katanya.

Katanya, Malaysia mempunyai lebih 600,000 ahli pengakap menjadikan ia antara gerakan belia beruniform terbesar di negara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN