Ewon hantar surat letak jawatan hari ini

Ewon hantar surat letak jawatan hari ini

pmks
EWON BENEDICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Ewon Benedick secara rasminya sudah mengemukakan surat peletakan jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, hari ini.

Ewon berkata, beliau akan mula menghabiskan baki cutinya sebagai Menteri bermula hari ini.

“⁠Petang ini saya akan mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO untuk membincangkan agenda ‘Sabah First’ yang sentiasa menjadi asas perjuangan parti UPKO selama ini sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Parti,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dua hari lalu, spekulasi mengenai kedudukan Ewon dalam Kabinet terjawab selepas beliau mengesahkan akan meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

Perkara itu dimaklumkan sendiri Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) itu melalui satu hantaran di Facebook.

“Saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang mana telah menjadi ruang untuk saya perjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah,” katanya.

Peletakkan jawatan itu dipercayai berkait rapat dengan pegangannya kepada prinsip di dalam Perlembagaan UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia merujuk penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid ke atas semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society.

Beliau berkata, pendirian dan pandangan dinyatakan Jabatan Peguam Negara (AGC) sepertimana dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang mencakupi syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia, sepertimana dinyatakan melalui dokumen-dokumen asas Perlembagaan.

“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut. ⁠AGC merupakan penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan.

“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka.

“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN