Elak ‘pisang berbuah dua kali’ baiki Jalan Batu Rakit - Utusan Malaysia

Elak ‘pisang berbuah dua kali’ baiki Jalan Batu Rakit

KERJA-KERJA membaik pulih runtuhan struktur benteng sedang giat dijalankan melibatkan Jalan Pantai Batu Rakit berhampiran Kampung Tanjung, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Orang ramai khususnya pengguna Jalan Pantai Batu Rakit di sini berharap kejadian runtuhan laluan T145 berhampiran Kampung Tanjung iaitu hanya beberapa bulan selepas kerja pembaikan dijalankan, menjadi iktibar kepada pihak berwajib agar menitikberatkan aspek kawalan kualiti dan penyeliaan.

Ia bagi mengelak berlakunya kejadian ‘pisang berbuah dua kali’ yang bukan sahaja me­nyu­sahkan pengguna tetapi melibatkan kos tambahan yang sepatutnya boleh digunakan un­tuk perbelanjaan lain seperti mening­katkan pelbagai infrastruktur.

Jalan berkenaan sebelum ini mengalami runtuhan sepanjang 280 meter akibat fenomena cuaca buruk semasa musim Monsun Timur Laut (MTL) dan kerja-kerja pembaikan dimulakan pada April lalu dengan kos keseluruhan sebanyak RM4.95 juta.

Projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada awal bulan lalu, namun kejadian runtuhan semula menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup demi keselamatan orang ramai.

Ketika ini, kerja-kerja membaik pulih sedang rancak dijalankan sejak lebih seminggu lalu dan dijangka mengambil masa enam bulan untuk disiapkan.

Pengguna laluan, Ainiza Zaib, 40, berkata, runtuhan semula itu menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pelaksanaan projek dan perancangan jangka panjang bagi menangani masalah hakisan di kawasan pantai.

Katanya, pihak-pihak bertanggungjawab perlu mengambil pengajaran dengan memberi perhatian serius terhadap aspek perancangan, reka bentuk dan kaedah pembinaan yang mengambil kira faktor hakisan pantai serta cabaran alam sekitar.

‘Bayangkan projek ini hampir 99 peratus siap, namun tidak sempat bertahan. Banyak faktor perlu diambil kira kerana ia terletak di kawasan pantai.

“Elak pisang berbuah dua kali dengan memastikan kerja-kerja membaik pulih menggunakan kaedah lebih mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN