GEORGE TOWN : Meskipun berdepan dengan cabaran kos sara hidup, dunia pekerjaan yang berubah serta teknologi yang bergerak pantas daripada kemampuan untuk menyesuaikan diri seperti yang dialami oleh negara-negara lain, ekonomi Malaysia masih kekal stabil dan berdaya tahan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, dalam keadaan ini, literasi kewangan menjadi kemahiran asas yang membantu rakyat untuk berfikir lebih panjang sebelum berbelanja, membuat keputusan kewangan yang bijak serta membina daya tahan isi rumah.
Beliau berkata, ilmu kewangan juga membantu kita menilai keperluan sebenar, mengelak hutang berlebihan dan sentiasa bersedia sekiranya menghadapi kecemasan.
“Atas sebab itu, FEN (Jaringan Pendidikan Kewangan) telah memperbaharui Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030. Matlamat kita bukan sekadar mahu rakyat tahu mengira duit, tetapi tahu menggunakan duit dan menguruskan kewangan untuk meningkatkan taraf hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Celik Kewangan Pulau Pinang 2025 yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow di Queensbay Mall, hari ini.
Karnival tersebut merupakan acara kemuncak bagi Bulan Literasi Kewangan 2025 iaitu satu inisiatif nasional untuk memperkasa rakyat dengan ilmu serta kemahiran kewangan.
Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, perkembangan dunia kewangan digital juga mendorong sembilan daripada sepuluh rakyat Malaysia untuk mula menggunakan perkhidmatan kewangan digital untuk pelbagai tujuan seperti membayar bil dan membeli perlindungan insurans.
“Tapi, dalam menggunakan kemudahan ini, ada risikonya. Serangan ‘scam’ kini semakin canggih. Ada yang menggunakan kecerdasan buatan atau AI untuk meniru suara dan wajah orang yang kita kenal. Jadi, pesan kami, jangan kongsi maklumat peribadi. Periksa sebelum klik. Fikir sebelum bayar,” tegas beliau.
Tambah Abdul Rasheed, satu lagi cabaran ialah untuk menangani budaya ‘painless payment’ atau pembayaran mudah dengan menggunakan satu sentuhan atau imbasan skrin sahaja sehingga menyebabkan pengguna mudah berbelanja tanpa sedar.
“Kajian mendapati, 31 peratus pengguna berbelanja secara impulsif ketika membeli dalam talian. Ini mungkin nampak kecil, tapi jika berulang setiap bulan, ia boleh menjejaskan simpanan dan menyebabkan tekanan kewangan.
“Justeru, sebagai langkah awal, BNM bersama Bank Rakyat, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank akan melaksanakan Program Pendidikan Kewangan Tepat Pada Masanya (Just-In-Time Financial Education (JITFE)) khas untuk pemohon pembiayaan peribadi, supaya pinjaman dapat dimanfaatkan secara bijak,” ujar beliau.-UTUSAN










