Pelakon dan pempengaruh popular kelahiran Korea Selatan, Maryam Younarae mengakui perjalanan kariernya di pentas Muzikal Lawak Superstar (MLS) 2025 tidak mudah.
Ini kerana tugasnya bukan sekadar membuat penonton ketawa, tetapi pada masa yang sama dia berhasrat mahu membuktikan bahawa pelawak wanita mampu berdiri sama tinggi dengan pelawak lelaki.
Menyertai pertandingan itu di bawah kumpulan Kimbab yang turut dianggotai oleh Zulin Aziz dan Nasz, Maryam berkata, perjuangan mereka sebagai satu-satunya kumpulan lawak wanita penuh cabaran kerana masih wujud persepsi bahawa pelawak lelaki lebih mendominasi dunia komedi di Malaysia.
“Saya tahu dalam program itu, persaingan sengit dan ramai percaya lawak di Malaysia dimonopoli lelaki. Sehebat mana pun pelawak wanita itu, jarang sekali perempuan menang.
“Tambahan pula, pelawak wanita di Malaysia tak ramai. Saya pula orang Korea dan ramai kata saya ini, buka mulut sahaja sudah kelakar. Tapi saya tak boleh guna benda itu setiap minggu.
“Minggu pertama dan kedua mungkin orang ketawa, tapi selepas itu saya kena tunjukksn kelebihan lain, sesuatu yang buat orang kagum dan cakap, ‘Wow, Mariam boleh buat benda ni!’,” katanya.
Pada masa yang sama, Maryam menjelaskan, kumpulan mereka memastikan persembahan bebas lawak lucah, ‘double meaning’, atau menghina fizikal orang lain.
“Saya memang tabik kepada Zulin. Dia seorang yang sangat kreatif dan dia tak suka guna bentuk badan orang atau lawak berunsur penghinaan.
“Kami pun elakkan isu sensitif seperti ‘body shaming’, perkauman atau politik. Sekarang ada peraturan jelas daripada pihak produksi, jadi kami kena lebih berhati-hati,” katanya.
Tambah Maryam, selepas menyertai pertandingan itu barulah dia memahami betapa mencabarnya dunia komedi terutama di arus perdana.
“Bukan senang hiburkan orang. Dalam TV nampak mudah, tapi bila atas pentas, kita kena fikir jalan cerita, lagu, dialog, mesej agar sampai kepada penonton.
“Bagaimanapun, saya puji semangat dan kreativiti pelawak-pelawak tempatan yang bekerja keras setiap minggu menghasilkan persembahan terbaik. Saya tengok sendiri betapa kreatifnya pelawak tempatan.
“Mereka ada idea yang hebat, cuma sebagai kumpulan perempuan, cabarannya lebih besar. Jadi bila kami berjaya berada dalam Top 5, itu pencapaian luar biasa. Ia bukti perempuan juga boleh buat lawak walaupun ada yang kata kumpulan kami akan tersingkir awal kerana kami wanita,”jelasnya.
MAHU JADI PENYANYI PULA
Selain dunia lawak, Maryam kini dalam proses melancarkan lagu pertamanya dalam bahasa Melayu.
“Saya dah siap rakam lagu tersebut yang bertemakan nasihat dan hidayah. Saya nak orang yang dengar, tersentuh, mungkin sampai menangis. Ia mengenai saya.
“Liriknya saya tulis dan saya dah jumpa komposer sejak tahun lepas. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Kami cuma tunggu masa sesuai untuk lancarkan muzik video,” katanya yang merahsiakan nama komposer berkenaan.
Mengakhiri perbualan, Maryam mengakui setiap pencapaian dikecapi hari ini adalah hasil doa dan ketentuan Allah.
“Sebelum berkahwin, saya bergurau dengan Ryzal. Konon nak datang Malaysia dan jadi terkenal. Tak sangka kata-kata itu akhirnya menjadi nyata,” kongsinya.
								
								
								
											








