KOTA BHARU: Kerajaan negeri sudah mengadakan pertemuan rasmi dengan Pesuruhjaya Sukan (PJS) Jumaat lalu bagi membincangkan isu-isu melibatkan pengurusan persatuan sukan di Kelantan, termasuk status Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang sedang berdepan penggantungan ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat negeri , Zamakhshari Muhamad berkata, pertemuan tersebut turut meneliti langkah-langkah penstrukturan semula KAFA bagi memastikan pembangunan bola sepak negeri dapat digerakkan secara lebih tersusun dan profesional.
Katanya, pertemuan itu memperlihat kesungguhan kerajaan negeri untuk melihat bola sepak Kelantan digerakkan semula secara tersusun, profesional dan berdaya saing.
“Susulan daripada pertemuan itu, saya membuat satu surat rasmi kepada PJS untuk mendapatkan maklumat status terkini dan cadangan penyelesaian KAFA,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong Azhar Salleh semasa Persidangan Kali Ketiga Bagi Tempoh Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim ,di sini hari ini.
ADUN Apam Putra itu berkata, pelbagai langkah strategik dan sokongan diambil bagi memperkukuh ekosistem bola sepak negeri sama ada di peringkat dasar, akar umbi, mahupun kolaborasi bersama sektor swasta serta akademi.
Katanya, melalui Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS) pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi terus diperkukuh melalui penganjuran Liga Elit DUN (LED) yang diadakan secara tahunan.
“Sebanyak 458 pasukan dari seluruh 45 kawasan DUN menyertai kejohanan ini pada tahun ini yang menghimpunkan seramai 10,534 pemain.
“Liga ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform pembangunan bakat belia tempatan, malah menjadi mekanisme pemilihan rasmi untuk menentukan wakil pasukan DUN ke Piala Menteri Besar Kelantan,” ujarnya.
Zamakshari berkata, keputusan itu dibuat melalui pemilihan Johan LED dan pemain terbaik LED di setiap kawasan.
Katanya, penganjuran Piala Menteri Besar Kelantan turut menjadi antara inisiatif utama Kerajaan Negeri melalui U-BeS dalam menghidupkan semula semangat bola sepak di peringkat akar umbi. – UTUSAN










