KOTA SAMARAHAN: Dua warga asing yang tular kerana mendakwa menggunakan pasport palsu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini sebenarnya memasuki dan keluar dari negara ini secara sah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, hasil semakan terhadap pelancong asing berkenaan yang masing-masing warga Bosnia dan China mendapati mereka mempunyai pasport yang sah.
“Kita juga membuat semakan dengan kedutaan masing-masing. Selain itu, semua rekod telah disahkan termasuk rekod kemasukan mereka, pintu masuk yang digunakan dan dokumen perjalanan itu benar-benar sah.
“Kedua-dua mereka mungkin saling mengenali antara satu sama lain namun kita siasat apa motif dia (pelancong). Kalau niat untuk memburukkan imej negara tentu akan ada tindakan susulan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia 2025 di Kampung Sindang Baru, di sini hari ini.
Beliau dalam pada itu turut menafikan dakwaan pemeriksaan dilakukan oleh pegawai imigresen sebaliknya video berkenaan memaparkan pemeriksaan di kaunter pemeriksaan oleh polis bantuan sebelum memasuki pesawat.
“Saya nak betulkan dahulu, kita tengok video itu bukan di kaunter imigresen sebaliknya di kaunter pemeriksaan masuk ke pesawat malah uniform itu adalah polis bantuan.
“Ini bukan kali pertama kandungan begini, mudah melepasi sempadan negara. Sebelum itu, (kejadian yang sama) di Thailand, dilaporkan macam itu juga,” katanya.
Baru-baru ini tular rakaman video memaparkan pemeriksaan pasport warga asing yang dipercayai dijalankan anggota keselamatan syarikat penerbangan di KLIA Terminal 2.
Berdasarkan rakaman video itu, selepas beberapa minit semakan dan pemeriksaan dilakukan, individu di dalam video terbabit mendakwa dibenarkan menaiki pesawat.
Kelmarin, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban dilaporkan berkata, pihaknya sedang mengenal pasti pemilik akaun TikTok terbabit dan tidak menolak kemungkinan akan memanggil anggota dipercayai petugas syarikat penerbangan berkenaan bagi membantu siasatan. – UTUSAN










