PENGARAH, Osman Ali teruja sebaik sahaja menerima skrip drama Bahagia Yang Tertangguh yang bakal ditayangkan bermula 17 November ini di Astro Ria.
Jalan cerita drama tersebut, yang menggambarkan realiti kehidupan rumah tangga sebilangan besar pasangan suami isteri zaman kini, menarik minat pengarah prolifik berkenaan untuk diketengahkan kepada penonton.
“Saya cukup tertarik dengan tema dan jalan cerita drama ini yang mana jauh berbeza dengan cerita -cerita yang pernah disajikan kepada penonton sebelum ini.
“Bahagia Yang Tertangguh mengupas tentang punca pergolakan rumah tangga. Selain isu curang, campur tangan pihak ketiga seperti ipar juga membawa kemusnahan kepada perkahwinan.
“Oleh yang demikian, saya yakin cerita ini akan menerima sambutan luar biasa apabila ditayangkan kelak kerana jalan cerita yang dekat dengan masyarakat hari ini,” katanya.

Karya diadaptasi daripada novel terkenal tulisan Rissa Ahdiya mengisahkan perjalanan hidup seorang wanita bernama Hana yang terperangkap dalam perkahwinan yang dikawal oleh kakak iparnya.
Lebih mengharukan lagi apabila Hana terpaksa berkorban, menjadi isteri provider, menanggung keluarga dek suami yang culas menjalankan bertanggungjawab.
Keadaan itu membawa kemusnahan dan keretakan rumah tangganya sebelum Hana dipertemukan dengan lelaki yang mengajarnya tentang makna cinta, keberanian dan harga diri.

Pemilihan Nad Zainal sebagai Hana merupakan keputusan yang tepat kerana kredibiliti aktress tersebut dalam menjayakan pelbagai watak termasuk karakter wanita teraniaya.
“Saya benar-benar tertarik dengan watak Nurin Hana, wanita moden yang tabah dan melakukan terlalu banyak pengorbanan untuk rumah tangganya.
“Apa yang lebih menarik minat saya adalah apabila apa yang dilalui karakter ini juga dilalui ramai wanita termasuk kawan-kawan saya.
“Sebenarnya banyak mesej yang saya nak sampaikan menerusi watak ini. Antaranya, kita perlu sedar yang seorang suami itu melanggar hukum agama jika culas menjalankan tanggungjawab dan membiarkan isteri yang menanggung keluarga. Jadi diharapkan drama ini dapat membuka mata ramai pihak mengenai isu tersebut,” katanya.
Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam berterima kasih kepada penerbit dan pengarah drama berkenaan yang memberi kepercayaan kepadanya untuk membawakan watak antagonis yang mana jarang dilakonkan sebelum ini.
“Peminat saya tahu yang saya jarang membawakan watak antagonis. Tetapi hakikatnya saya amat meminati watak seperti itu.
“Jadi, apabila ditawarkan watak Zakwan ini, saya terus bersetuju. Saya pasti penonton akan benci Zakwan kerana zalim dan banyak melakukan kejahatan kepada isterinya.
Bahagia Yang Tertangguh turut dibintangi Kamal Adli, Mimi Ernida, Rozita Che Wan, Riz Amin, Noreen Iman, Nina Juren dan ramai lagi. Drama ini akan mula ditayangkan 17 November ini, Isnin hingga Khamis pukul 10 malam di Astro Ria (saluran 104).
PENANTIAN 18 TAHUN BERAKHIR
Dalam pada itu, impian peminat untuk melihat novel Impiana nukilan Ain Maisarah diketengahkan dalam sebuah drama, terlaksana menerusi penghasilan drama Impiana: Karma terbitan Zeel Production Sdn. Bhd.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berharap penghasilan drama itu selepas 18 tahun novel popular berkenaan diterbitkan dapat menggembirakan hati ramai peminat yang lama menanti karya itu diangkat di kaca televisyen.
“Jalan cerita drama ini berbeza dengan drama lain yang sering mengetengahkan kisah penyondol, curang dan sebagainya. Kami tonjolkan topik berbeza.
“Ramai peminat yang menunggu selama 18 tahun untuk novel Impiana ini dijadikan sebagai drama. Saya harap penantian mereka berbaloi,” katanya.

Impiana: Karma arahan Eyra Rahman menampilkan barisan pelakon ternama antaranya Tiz Zaqyah, Che Puan Juliana Evans, Nas-T, Ezzanie Jasny, Adriana Adnan, Lorenzo Irmann dan ramai lagi.
Juliana berkata jalan cerita yang unik dan sarat dengan mesej berguna bakal menarik ramai penonton sebaik sahaja ia ditayangkan 19 November ini.
“Ceritanya lain daripada lain, ada juga memberi pengajaran tentang masalah buli. Pada saya drama ini ditayangkan pada masa yang sesuai ketika isu buli semakin tidak terkawal sekarang ini. Saya harap drama ini sedikit sebanyak dapat mengubah pandangan masyarakat tentang masalah berkenaan,” kongsinya.
Impiana: Karma membawa penonton menyelami sisi gelap keinginan dan cita-cita menerusi kehidupan sekumpulan sahabat lama yang kembali bertemu selepas bertahun-tahun berpisah.
Pertemuan itu menyeret mereka ke dalam urusan dengan sebuah syarikat misteri yang menjanjikan kejayaan dan impian menjadi nyata – namun dengan harga yang perlu dibayar.
Ketika impian mereka mula terlaksana, mereka menyedari bahawa setiap keinginan datang bersama pengorbanan, mengaburkan batas antara cita-cita dan akibat.

Nas-T atau Nas Muammar Zar Nasruddin pula menyifatkan pembabitan dalam Impiana: Karma sebagai hasrat terlaksana disebabkan watak yang dibawakannya berlainan dengan yang dilakonkannya sebelum ini.
“Kalau sebelum ini saya diberikan watak pegawai tentera dan bomba, kali ini berlakon sebagai detektif pula. Watak begini antara senarai bucket list saya sebagai pelakon.
“Saya tertarik dengan watak Amir, berdedikasi dan komited dengan tugasnya. Pada masa yang sama dia bersungguh-sungguh menyelesaikan kes yang membabitkan kenalannya sebagai mangsa,” ujarnya.
Drama Impiana: Karma akan mula ditayangkan 19 November ini, pukul 9 malam pada setiap Rabu dan Khamis di Astro Ria (saluran 104).










