Debat asah bakat pidato pelajar

Debat asah bakat pidato pelajar

gelagat pelajar yang hadir ketika Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 tahun 2025 di Putrajaya baru-baru ini. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKTIVITI debat di sekolah bukan sahaja mengasah bakat berpidato, malah berperanan penting dalam melahirkan generasi yang mampu menilai, mengkritik dan mencadangkan idea balas secara tertib, sopan dan ilmiah.

Pelajar yang aktif dalam debat lazimnya menunjukkan daya kepimpinan, disiplin pemikiran dan kemahiran komunikasi yang tinggi, sekali gus terbukti apabila ramai antara mereka dipilih sebagai ketua pelajar di sekolah masing-masing.

Ini juga dibuktikan bahawa ada pemimpin negara hari ini pernah menjadi pendebat sejak di bangku sekolah, sekali gus melahirkan tokoh yang berani berhujah dan matang dalam berfikir.

Selain itu, debat juga membina keyakinan, pemikiran kritis, adab berbeza pendapat, kawalan emosi dan literasi maklumat sehingga mampu melahirkan generasi berani serta matang.

Guru pembimbing debat Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK), Mohamad Hisyamuddin Ghazali berkata, aktiviti debat mampu membina keterampilan dalam diri murid dan melahirkan generasi yang mampu menilai, mengkritik dan memberi cadangan idea balas yang tertib, sopan dan ilimiah.

Pelajar debat Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang bergambar bersama piala selepas muncul johan dalam Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri (PPM) ke-50 tahun 2025. – UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIRKatanya, debat boleh membina keyakinan kerana peserta debat dilatih untuk melontarkan idea dengan masa persediaan yang terhad. Oleh itu, disiplin cara berfikir dan cara membentang yang pantas dan tuntas dapat dibina.

“Selain itu, debat mengajar kemahiran carian isu dan fakta. Dalam keadaan dunia berdepan dengan era post-truth ketika ini, kemahiran mencari jawapan dan menilai cerita dan berita merupakan kemahiran yang sangat penting,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Tambah, Mohamad Hisyamuddin, debat mampu membina keyakinan diri kerana peserta dilatih melontarkan idea dengan persediaan terhad, sekali gus membentuk disiplin berfikir serta kemahiran membentang secara pantas dan tuntas.

“Debat membuka peluang untuk murid terdedah dengan carian dan bacaan isu semasa dari sumber yang sahih.

“Pembacaan sumber yang sahih ini akan melatih murid kemahiran membezakan sumber maklumat yang saya kira cukup kritikal dalam era maklumat terbuka,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Hisyamuddin, debat wajar dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada kurikulum wajib, bukan sekadar aktiviti kokurikulum, kerana ia berpotensi menjadi instrumen berkesan dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) untuk menilai tahap kefahaman murid.

 

SESI latihan pendebat daripada Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang selepas aktiviti persekolahan.Malah, katanya, pendebat sekolah turut dilihat sebagai pelapis kepimpinan negara serta aset penting yang bakatnya boleh terus digilap di menara gading.

“Pendebat biasanya memiliki daya keyakinan, kemahiran berfikir, kemahiran pengucapan awam yang baik yang juga merupakan tuntutan kemahiran yang sangat diperlukan pada masa kini.

Dalam perdebatan murid diajar dengan kemahiran berhujah dan membidas dengan sopan dan tertib bagi membantu mereka untuk beradab biarpun berbeza pendapat,” katanya.

Sementara itu, pelajar SMAPK, Ameen Luqman Norhanizan, 17 berkata, debat wajar diberi tempat lebih besar dalam sistem pendidikan kerana ia terbukti mampu membentuk keyakinan, disiplin pemikiran dan kemahiran kepimpinan dalam kalangan pelajar.

“Debat boleh dijadikan salah satu instrumen yang berkesan dalam Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). Dengan debat, kita boleh membezakan tahap kefahaman murid dan boleh menyusun langkah intervensi yang bersesuaian.

“Pendebat sekolah juga merupakan pelapis kepimpinan negara dan juga aset yang boleh dicungkil ketika alam universiti kelak,” katanya.

Dia yang juga pembahas terbaik Bahasa Melayu dalam Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri Ke-50 tahun ini turut berkata, perkara paling berharga dalam dirinya ketika menyertai debat ialah seni berfikir dari pelbagai perspektif.

“Dalam kehidupan seharian, kebanyakan orang berfikir secara linear, sama ada mengenai isu besar seperti politik dan ekonomi ataupun hal kecil seperti perasaan manusia.

“Namun, melalui debat, kita dipaksa menilai sesuatu daripada sudut pandang yang berbeza. Cabaran paling besar ialah mencari serta mengkaji fakta secara mendalam kerana antara latihan pasukan debat SMAPK termasuklah membaca dasar kerajaan, akta dan pelbagai regulasi,” katanya.

Menurut Ameen Luqman, dalam perdebatan, perkara paling utama ialah meyakinkan orang lain.

“Namun, sebelum itu, kita sendiri perlu yakin dengan hujah dan keyakinan diri.

“Sepanjang karier saya, saya sudah menyertai lebih empat pertandingan, menjadikan saya terbiasa berhujah sama ada di bilik bahas yang kecil mahupun di dewan yang besar,” katanya.

Dia turut berkongsi, selain penyampaian yang selari dengan kehendak usul, penggunaan bahasa juga amat penting dalam memartabatkan Bahasa Melayu.

“Tatabahasa yang betul perlu dijaga agar idea dapat difahami dengan jelas, manakala pemilihan perkataan yang tepat akan menguatkan hujah.

“Ada ketika perkataan bersifat mandatori perlu digunakan dan ada masa sesuai untuk memilih istilah yang lebih ringan. Keupayaan menganalisis serta membezakan makna perkataan merupakan salah satu teknik berbahas yang tinggi nilainya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN