Bagi ramai pelajar, mempelajari tulisan Jawi kadang-kadang kelihatan mencabar, terutamanya bagi mereka yang tidak pernah diperkenalkan sejak kecil.
Namun, situasi itu bakal berubah dengan pelancaran aplikasi PAntaS baCA Jawi (PASCA-ج) yang dijadualkan pada 1 Januari 2026 di App Store dan Google Play Store.

Aplikasi inovatif itu sebelumnya telah memenangi Anugerah Khas IMAN25 dan dibangunkan oleh Lorenica Frenila Masundim, seorang guru Bahasa Melayu, dan penyelidik peringkat doktor falsafah (PhD).
Guru berketurunan Rungus Sabah itu menyatakan idea menghasilkan PASCA-ج datang daripada pengalaman peribadinya sendiri sebagai guru bukan Islam yang berdepan kesukaran mempelajari Jawi.
“Saya mendapat ilham menghasilkan aplikasi ini apabila merasai sendiri kesukaran saya dan murid-murid bukan Islam untuk menguasai Jawi kerana kami tidak pernah diperkenalkan dengan tulisan ini sejak kecil.
“Saya harap dapat wujudnya aplikasi ini, saya dapat membantu ramai murid seperti saya dahulu,” katanya kepada Utusan Pelajar.
Ungkapan ringkas itu membawa makna besar dalam melambangkan perubahan cara masyarakat Malaysia, termasuk bukan Muslim, mendekati tulisan Jawi sebagai khazanah ilmu yang semakin diberi perhatian dalam era digital.
Aplikasi PASCA-ج, yang sebelum itu merangkul Anugerah Khas IMAN25 di peringkat antarabangsa, dibangunkan bagi membantu pengguna menguasai bacaan Jawi dengan lebih cepat, sistematik dan menyeronokkan.
Menurut Lorenica Frenila, setiap ciri dalam aplikasi itu dibina berdasarkan pengalaman sebenar pembelajaran Jawi dari sifar. Salah satu ciri utama yang mendapat perhatian ialah transliterasi dua hala, iaitu Rumi ke Jawi dan Jawi ke Rumi.
“Ciri transliterasi dua hala ini sangat penting untuk individu yang baru belajar. Aplikasi ini membantu pengguna memadankan bunyi dan huruf tanpa rasa takut atau terbeban,” katanya. Bagi memastikan ketepatan kandungan, aplikasi itu turut melalui proses semakan ketat oleh
Munsyi Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Melalui pelantikan rasmi pihak universiti, panel munsyi akan menilai keseluruhan aplikasi, mencadangkan penambahbaikan serta mengesahkan kandungan sebelum dibuka kepada umum. Keberkesanan aplikasi PASCA-ج juga sudah terbukti melalui kajian awal. Lorenica berjaya menguasai kemahiran membaca Jawi hanya selepas lima hari menggunakan aplikasi tersebut.
Kejayaan itu turut menjadi antara faktor aplikasi ini dipilih menerima pengiktirafan IMAN25.
Pelancaran PASCA-ج dilihat sebagai satu langkah besar dalam cara pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu, khususnya dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat moden.
Selain itu, reka bentuk interaktif, pengguna turut merasakan pembelajaran melalui aplikasi lebih menyeronokkan berbanding kaedah tradisional.
“Murid merasakan mereka seperti bermain teka-teki ketika membaca Jawi. Mereka tidak rasa asing kerana kaedah ini sama seperti membaca Rumi yang mereka sudah biasa sejak kecil,” katanya.
Menjelang versi akan datang, beberapa penambahbaikan turut dirancang termasuk kemas kini berkala untuk soalan latihan, penyediaan sijil pencapaian, ruang maklum balas pengguna, serta fungsi membaca teks Jawi secara automatik bagi meningkatkan keberkesanan sesi pembelajaran.
Pelancaran pada 1 Januari 2026 nanti bakal menandakan permulaan baharu untuk pembelajaran Jawi digital di Malaysia dan luar negara.- UTUSAN










