Tiga projek pembangunan bernilai lebih RM1 juta dilaksanakan di Kolej Tingkatan Enam (prauniversiti) Tawau bagi meningkatkan kemudahan dan keselesaan kira-kira 1,000 pelajarnya.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Lo Su Fui berkata, projek itu meliputi pembinaan dewan terbuka, penambahan tempat letak kenderaan dan pembangunan farm house bagi menambah baik bekalan air.
Katanya, pelaksanaan projek itu adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk Pejabat Parlimen Tawau, kerajaan negeri Sabah dan sumbangan sektor swasta.
“Pendidikan adalah sektor paling penting dalam menjamin masa depan dan pembinaan modal insan.
“Jadi jika ada kekurangan kemudahan atau masalah yang tidak diselesaikan, ia akan menjejaskan kualiti pembelajaran pelajar,” katanya baru-baru ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau berkata, kejayaan projek itu turut didorong oleh komitmen pihak pengurusan kolej dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru(PIBG) yang aktif menyuarakan keperluan serta mencadangkan penyelesaian.
“Syabas kepada pengetua dan PIBG yang bertungkus-lumus memperjuangkan pembangunan kolej ini demi keselesaan pelajar.
“Pendekatan kolaboratif ini penting bagi memastikan segala kekangan dapat ditangani secara berkesan,” katanya.










