PETALING JAYA: NexG Berhad melantik Datuk Chong Loong Men sebagai Pengarah Eksekutif, selepas menerima kelulusan rasmi daripada lembaga pengarah syarikat, berkuat kuasa 18 November 2025.
Menurut NexG, pelantikan strategik ini menegaskan komitmen syarikat untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kestabilan organisasi, serta menguatkan barisan kepimpinan ketika syarikat memasuki fasa penting pelaksanaan identiti digital dan keselamatan negara.
“Keputusan lembaga pengarah untuk pelantikan ini mencerminkan fokus syarikat terhadap kestabilan institusi jangka panjang dan amalan tadbir urus yang mantap.
“Kehadiran beliau dalam pasukan kepimpinan mengukuhkan lagi usaha NexG untuk membangunkan infrastruktur digital negara yang selamat, dipercayai dan berdaya saing pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
NexG berkata, Loong Men yang pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pegawai di Suruhanjaya Sekuriti Malaysia membawa kepakaran luas dalam bidang perundangan, kawal selia dan korporat.
Jelasnya, pengalaman beliau turut merangkumi amalan perundangan dalam hal ehwal korporat, pematuhan dan komersial, selain penglibatan sebagai ahli lembaga pengarah di beberapa syarikat tersenarai awam.
“Gabungan kepakaran kawal selia dan pengalaman bilik lembaga menjadikan beliau aset penting dalam menyokong pertumbuhan strategik NexG,” ujarnya.
Tambahnya, pelantikan Loong Men mengukuhkan komitmen NexG untuk mempertingkat tadbir urus organisasi, memastikan pematuhan kawal selia dan keyakinan pihak berkepentingan, memperkukuh kesinambungan kepimpinan jangka panjang serta menyokong pelaksanaan projek-projek nasional berimpak tinggi. – UTUSAN










