BEIJING: Pelancaran ruang angkasa kecemasan pertama China berjaya memasuki orbit selepas berlepas pada 25 November, sebagai langkah negara itu menangani risiko keselamatan di stesen angkasanya, susulan kerosakan sebuah kapal angkasa di orbit awal bulan ini.
Kapal angkasa tanpa kru Shenzhou-22 dilancarkan menggunakan roket Long March-2F dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China pada pukul 12.11 tengah hari, menurut Agensi Angkasa Berawak China (CMSA).
Rakaman video yang dikongsi penyiar negara China, CCTV, memaparkan roket itu meluncur ke angkasa dengan Bumi kelihatan di latar belakang ketika kapal angkasa itu memasuki orbit.
Kapal angkasa itu akan bergerak ke stesen angkasa Tiangong yang didiami secara kekal di China, di mana tiga angkasawan kini berada tanpa sebarang kenderaan yang mampu membawa mereka kembali ke Bumi sekiranya berlaku kecemasan.
“Kapal angkasa berjaya berpisah daripada roket dan memasuki orbit yang dirancang, misi pelancaran ini merupakan kejayaan penuh,” kata CMSA dalam kenyataan yang disiarkan di akaun rasmi WeChat mereka.
Pada 5 November, kapal angkasa Shenzhou-20 sepatutnya membawa pulang tiga angkasawan China ke Bumi, tetapi didapati tidak sesuai untuk terbang selepas tingkap kapsulnya retak akibat impak daripada serpihan angkasa lepas.
Keadaan itu memaksa pihak berkuasa angkasa China pada 14 November mengerahkan satu-satunya kapal angkasa yang masih layak terbang, Shenzhou-21, yang baru tiba di stesen angkasa pada akhir Oktober, membawa pulang tiga angkasawan baharu.
Shenzhou-22 berlepas membawa alat ganti untuk Tiangong, peralatan untuk membaiki retakan tingkap pada kapal angkasa Shenzhou-20 yang masih berlabuh di stesen angkasa, serta bekalan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
Selepas tiba di stesen, kapal angkasa itu akan kekal berlabuh sehingga kira-kira April 2026, apabila ia akan digunakan untuk membawa kembali kru Shenzhou-21 ke Bumi, tambah agensi angkasa itu.
Sejak 2021, misi Shenzhou China menghantar tiga angkasawan ke stesen Tiangong untuk tempoh tinggal enam bulan.- AGENSI









