PETALING JAYA: Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin, memaklumkan dirinya turut dipanggil untuk memberi keterangan kepada Lembaga Disiplin parti itu, 6 November ini.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa, dia dipanggil susulan kritikannya terhadap tindakan Naib Ketua Sayap Bersekutu parti itu yang menganjurkan program bersama Presiden Bersatu dalam Port Dickson tanpa pengetahuan Bersatu bahagian itu.
Selain itu, beliau juga mendakwa diadukan ke Lembaga Disiplin kerana kritikannya mengenai kegagalan Bersatu mengangkat isu rakyat di Negeri Sembilan.
Beliau bagaimanapun berkata, tarikh tersebut bertembung dengan kes mahkamah yang sedang dihadapinya.
“Saya tidak sabar hendak jumpa Lembaga Disiplin tetapi untuk pengetahuan tarikh itu saya sudah ada kes mahkamah.
“Kedua, bulan ini saya sudah pun menyusun program ke Sabah untuk membantu PRU DUN Sabah maka saya minta sesi saya menghadap Lembaga Disiplin ditangguhkan ke bulan Disember.
“Namun jujur saya beritahu kalau tidak sabar hendak buang atau pecat saya, silakan sesi itu berlangsung tanpa kehadiran saya dan ambillah apa juga tindakan,” katanya di akaun Facebook miliknya.
Badrul Hisham dalam pada itu berkata, beliau bukan individu yang cenderung kepada mana-mana pihak, namun percaya pergolakan dalaman Bersatu ini perlu diselesaikan segera.
“Saya bukan kem mana-mana. Saya tidak tanda tangan akuan bersumpah atau apa sahaja. Kritikan saya parti ini lembab, banyak bola tanggung terlepas begitu sahaja.
“Saya bersetuju dengan gesaan ahli-ahli Parlimen itu. Sekarang tumpukan PRU Sabah, isu belanjawan dan banyak lagi isu.
Kesungguhan mempergunakan Lembaga Disiplin dengan kes terpilih dilihat sabotaj PRU Sabah dan sabotaj banyak isu besar.
“Kedua-dua kem perlu hentikan serang menyerang, rakyat kecewa melihatnya,” katanya. – UTUSAN










