Tidak sampai beberapa saat kemudian cahaya bulat seperti bola api itu bergerak menuju ke arah mereka, namun berhenti dan berlegar-legar di udara kira-kira 50 meter dari tempat mereka berada.
“Alamak, hantu… hantu penanggal! Lari…. Lari…,” jerit Seman sambil berlari pantas meninggalkan rakan-rakannya yang masih dalam keadaan terpinga-pinga.
Melihat sahaja perlakuan Seman yang cabut lari tidak cukup tanah, apa lagi… rakan-rakan lain turut sama bertaburan menyelamatkan diri tanpa sempat membawa motosikal masing-masing.
Keesokan petang selepas waktu Asar mereka bertemu semula di surau hujung kampung. Masing-masing tidak sabar ingin bercerita tentang kejadian yang berlaku pada malam semalam.
“Malam tadi aku dah tidak ingat apa yang jadi! Habis semua aku redah, janji aku selamat sampai ke rumah,” kata Seman bersungguh.
Rakan-rakan lain diam membatu. Mereka juga seperti Seman, pecut lari sampai ke rumah.
“Tetapi ada satu rahsia yang aku hendak cerita. Dan mesti semua takkan percaya! Sambung Seman lagi.
Masing-masing memandang Seman dengan penuh tanda tanya. Tidak tahu apa rahsia yang ingin didedahkan oleh sahabatnya ketika itu.
“Perasan tak, hantu penanggal yang kita nampak malam tadi? Tanyanya lagi kepada mereka.
Masing-masing hanya mengangguk tanpa jawapan.
“Sebenarnya waktu aku berlari balik tu, hantu penanggal itu ikut aku sampai ke rumah. Mula-mula aku tidak perasan, tetapi bila aku berada di pangkin rumah masa hendak tunggu adik aku buka pintu, aku tercium bau busuk.
“Bau itu macam bau yang kita cium masa melepak di tembok itu. Bila aku toleh ke belakang mata aku terus ternampak bola api berlegar-legar di halaman rumah aku.
“Masa aku terpandang itu terus aku terkejut. Hendak tahu tak kenapa? Tanyanya lagi.
Masing-masing menggelengkan kepala dengan riak muka ingin tahu.
“Wajah penanggal itu sebiji macam muka arwah Anjang Surip! Sumpah!
“Aku nampak jelas mukanya walaupun seperti terbakar. Nampak segala usus dan tali perutnya berjurai panjang dan bercahaya. Ishhh, memang seram beb! Tak tahu aku hendak gambarkan macam mana.
“Matanya merah menyala, terbuntang bulat tepat memandang ke arah aku. Waktu itu aku betul-betul rasa hendak pengsan. Lemah seluruh badan.
“Waktu aku masuk ke dalam rumah, penanggal tu masih ada berlegar-legar lagi di halaman rumah, tidak lama lepas itu baru dia terbang dan hilang di kebun getah belakang rumah,” sambung Seman bersungguh-sungguh.
Rakan-rakannya yang berada di situ terdiam mendengar cerita Seman.
Tidak mungkin sahabatnya itu berbohong atau mengada-adakan cerita, malah jika dia berbohong sekalipun tidak ada apa untungnya, lagipun apa yang berlaku malam tadi memang mereka saksikan sendiri di depan mata.
“Pelik juga, apa kena mengenanya penanggal yang kita nampak itu dengan arwah Anjang Surip, entah-entah ada kaitan dengan kisah silam dia tak? Tanya Budin sambil mengusap muka.
Masing-masing tiada jawapan, malahan mereka juga tertanya-tanya dalam hati tentang kaitan antara arwah Anjang Surip dengan lembaga penanggal yang mereka lihat malam tadi.
Adakah penanggal itu belaan arwah selama ini ataupun arwah yang bertukar menjadi makhluk tersebut selepas dia meninggal dunia? Pelbagai andaian mula bermain di fikiran mereka.
“Entahlah, kita sendiri pun tidak tahu apa yang berlaku dan ilmu apa dituntut oleh arwah semasa hayatnya. Dan rasanya tidak perlulah kita hebohkan cerita ini, risau pula kalau memalukan ahli keluarga arwah nanti.
“Cuma sebelum ini ada juga aku dengar cerita yang kononnya arwah ada ‘membela’ sesuatu, tapi Wallahualam, aku tengok arwah itu okey saja, tidak ada pula cerita-cerita pelik tentang dia semasa hayatnya,” sambung Budin menghela nafas.
Mereka semua mengangguk setuju, memang betul selama ini tidak kedengaran pula cerita negatif tentang arwah walaupun ada yang mendakwa dia ‘membela’ sesuatu untuk menjaga kebun dan harta bendanya.
“Aku tidak pasti ada tak orang lain yang pernah terserempak dengan penanggal ini, kalau ada boleh juga kita bertanya, mana tahu sama seperti yang kita jumpa malam tadi.
“Tapi walau macam mana pun kita cuba siasat apa kaitannya hantu penanggal itu dengan arwah, manalah tahu kalau-kalau kita dapat jawapannya nanti,” pesan Jais kepada teman-temannya. –UTUSAN
TAMAT









