KOTA KINABALU: Langkah seorang calon Pakatan Harapan (PH) menarik diri bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk mengurangkan pertembungan dan meningkat potensi kemenangan.
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, perkara itu merupakan antara usaha pihaknya agar meningkatkan kemenangan rakan sekutu kerajaan Perpaduan dalam PRN Sabah.
Katanya, buat masa ini hanya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam yang terlibat dengan ketetapan tersebut.
“Sebagai individu terlibat rundingan, tugas saya adalah memuktamadkan rundingan kerusi, itu tercapai. Kedua mengurangkan pertembungan kerusi.
“Bila pertembungan, kita cuba minimakan, itu keputusan cuba kita buat, agar tidak berlaku pertembungan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Minum Petang Bersama Pemimpin PH di sini hari ini.
Terdahulu, calon PH DUN Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri bertanding PRN Sabah dalam tempoh 48 jam selepas penamaan calon.
DUN Silam menyaksikan pertembungan antara sembilan calon termasuk dua parti kerajaan Perpaduan, Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Selain Silam, terdapat empat DUN berdepan pertembungan antara tiga parti kerajaan Perpaduan antara BN, PH dan GRS iaitu Karamunting, Kamabong, Mayog dan Bandau.
Saifuddin berkata, beliau berterima kasih kepada calon PH yang menarik diri meskipun sudah selesai proses penamaan calon.
“Beliau bersetuju dan itu bukti bahawa kami cuba meningkat peluang kemenangan, dengan bertanding seberapa banyak kerusi yang mungkin. Kita cuba usahakan sesuatu (pertembungan) di pihak kami,” katanya. – UTUSAN










