REMBAU: Kehadiran pasangan panda gergasi baharu, Chen Xing dan Xiao Yue ke negara ini pada Selasa lalu, bukan sahaja mencuri tumpuan di Zoo Negara, malah turut menjadikan Kampung Kundur Ulu di sini sebagai lokasi tumpuan penting sejak sedekad lalu.
Ini kerana kampung berkenaan menjadi pembekal utama buluh betung, makanan utama panda, termasuk bagi pasangan terdahulu, Fu Wa dan Feng Yi.
Kelmarin, dua pakar panda dari China turun padang ke kampung itu bagi menilai kualiti buluh yang dibekalkan oleh Koperasi Masjid Kariah Kundur Ulu Rembau Berhad.
Pengerusi koperasi, Zubir Jamal, 62, berkata, pemeriksaan berkala daripada pakar diperlukan bagi memastikan buluh memenuhi spesifikasi ketat seperti tekstur, kandungan air dan tahap kesegaran.
“Walaupun spesies buluh sama ada di tempat lain, panda tetap memilih buluh dari kampung ini. Ini terbukti sejak kedatangan Fu Wa dan Feng Yi 10 tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Koperasi berkenaan menjadi pembekal rasmi Zoo Negara sejak 2015 dengan penghantaran dua kali seminggu melibatkan kira-kira 60 kilogram (kg) buluh betung setiap sesi.
Zubir berkata, pihaknya turut membekalkan rebung yang turut menjadi makanan kegemaran panda.
“Buluh dipotong mesti matang, berusia tiga hingga empat tahun. Buluh muda panda tidak makan kecuali rebung. Buluh yang kami tanam juga dipantau rapi tanpa baja atau racun kerana keselamatan makanan panda amat penting,” katanya.
Beliau berharap kampung itu terus menjadi pilihan Zoo Negara demi memastikan diet panda dipenuhi secara konsisten.
Sebelum ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memaklumkan, ketibaan Chen Xing (jantan) dan Xiao Yue (betina) adalah hasil Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Giant Panda yang diperbaharui melalui perjanjian pada 16 April 2025.
Sebelum ini, Malaysia menerima Fu Wa dan Feng Yi pada 2012 sebelum dihantar pulang ke China pada 18 Mei 2025. – UTUSAN










