Bot karam: 7 mayat PATI ditemui setakat ini

Bot karam: 7 mayat PATI ditemui setakat ini

ANTARA mangsa terdiri daripada PATI yang diselamatkan setelah hanyut akibat bot dinaiki mereka karam di perairan Pulau Tarutao berhampiran sempadan Malaysia-Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak tujuh mayat disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) ditemukan setakat ini susulan bot membawa kira-kira 300 migran termasuk dari Myanmar, dipercayai karam di perairan negara jiran.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, jantina kesemua mayat terbabit adalah wanita termasuk satu kanak-kanak perempuan.

“Kira-kira pukul 5 petang tadi, bot Petir 81 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah menemui mayat kanak-kanak perempuan.

“Bot jabatan perikanan pula menyelamatkan seorang mangsa lelaki yang hanyut di laut pada pukul 6.01 petang sebelum aset sama menemui mayat wanita terapung pada pukul 6.24 petang,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, kapal peronda KM Siangin juga telah menemui empat mayat wanita yang kemudian dibawa oleh Bot Benteng 7 ke Jeti Teluk Ewa untuk diserahkan kepada pihak polis.

“Radius sektor pencarian Op Carilamat telah diperluaskan meliputi 170 batu nautika persegi, namun operasi ditangguhkan kira-kira pukul 7 petang ini dan akan disambung semula pagi esok,” katanya.

Terdahulu, Maritim Malaysia menemukan mayat wanita yang terapung di laut pada pukul 2.05 petang, semalam selepas bot dinaiki mereka dipercayai karam berhampiran Pulau Tarutao di Thailand.

Manakala, 10 lagi individu ditemui selamat setelah mereka hanyut ke perairan Langkawi dan diselamatkan pelbagai pihak termasuk nelayan tempatan, pelayar dan kapal yang melintasi kawasan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN