Bomba selamatkan lelaki Orang Asli dipatuk ular - Utusan Malaysia

Bomba selamatkan lelaki Orang Asli dipatuk ular

PASUKAN penyelamat membawa lelaki Orang Asli yang dipatuk ular berbisa ketika mencari hasil hutan di Kampung Agek, Gerik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pasukan bomba mengambil masa lebih 24 jam untuk membawa keluar seorang lelaki Orang Asli yang cedera dipatuk ular berbisa di Kampung Agek, Pos Kemar di sini hari ini.

Mangsa, Sali Seruliou, 48, dipatuk ketika mencari hasil hutan bersama rakannya yang kemudian memaklumkan kejadian itu kepada pegawai perubatan di Pos Kemar bagi mendapatkan bantuan.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai keadaan mangsa yang sukar bergerak pada pukul 4.05 petang semalam.

Katanya, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi bersama beberapa agensi bantuan lain untuk operasi menyelamat.

“Ketua operasi bersama anggota bergerak ke Jeti Awam Pos Kemar pada pukul 5.30 petang sebelum bergerak masuk ke dalam hutan menuju ke lokasi mangsa pada pukul 1.45 pagi.

“Pasukan penyelamat menempuh perjalanan mencabar selama kira-kira 10 jam termasuk mendaki bukit dan melalui hutan belukar sebelum tiba di lokasi mangsa pada pukul 11.30 pagi,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, mangsa diberi rawatan awal oleh anggota Perkhidmatan Perubatan Perawatan Kecemasan (EMRS) dan dinasihatkan agar tidak banyak bergerak.

Katanya, permohonan turut dibuat untuk mendapatkan bantuan helikopter manakala anggota penyelamat pula mewujudkan kawasan pendaratan kira-kira empat kilometer dari lokasi mangsa.

“Disebabkan jarak perjalanan yang jauh dan bentuk muka bumi yang mencabar, lima anggota penyelamat cedera ringan dan dihantar ke Pos Kemar untuk rawatan serta pengambilan logistik.

“Empat lagi anggota yang turut mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Gerik bersama mangsa melalui Lapangan Terbang Gerik bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, operasi menyelamat yang turut dibantu pasukan polis, malim gunung dan penduduk kampung itu tamat pada pukul 6 petang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN