BN mahu rampas semula kerusi DUN Klias, Kuala Penyu

BN mahu rampas semula kerusi DUN Klias, Kuala Penyu

JOHARI ABDUL GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEAUFORT: Barisan Nasional (BN) bertekad untuk merampas semula dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias dan Kuala Penyu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Ia selepas kedua-dua tersebut diberikan kepada Perikatan Nasional (PN) pada PRN 2020 lalu ketika kedua-dua gabungan bernaung di bawah satu kerjasama politik.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keputusan meletakkan calon BN di dua kerusi berkenaan merupakan langkah memulihkan mandat asal rakyat Beaufort selain keyakinan bahawa barisan calon BN kekal mendapat tempat di hati pengundi setempat.

“Pada PRN lepas, dua kerusi ini kita beri kepada PN kerana ketika itu mereka bersama kita. Bila mereka menang, mereka tinggalkan BN. Jadi kali ini BN bertanding semula di kawasan kubu kuat kita.

“Dua calon yang kita tampilkan ini amat dikenali dan disukai rakyat di kawasan masing-masing. Saya merayu kepada pengundi Kuala Penyu dan Klias supaya memberi peluang kepada BN memperbaiki semula kepimpinan dan khidmat untuk rakyat di sini,” katanya selepas menghadiri proses penamaan calon bagi DUN Klias dan Kuala Penyu di Dewan Pa’musa, di sini, hari ini.

Terdahulu, BN mempertaruhkan Osin Jilon di DUN Klias, manakala di DUN Kuala Penyu ialah Datuk Awang Aslee.

Mengulas mengenai isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang akan dijadikan sebagai modal kempen, Johari berkata, perkara itu tidak lagi relevan kerana Kerajaan Persekutuan telah mengambil pendirian jelas untuk tidak merayu keputusan mahkamah berhubung isu tersebut.

“Mereka boleh bangkitkan apa sahaja isu termasuk 40 peratus. Tetapi Perdana Menteri sudah umum kerajaan tidak akan merayu. Kita ikut Perlembagaan. Jadi isu itu tidak berbangkit,” katanya.

Tambah Johari, BN tampil dengan agenda pembaharuan besar dalam PRN kali ini melalui penyertaan bilangan muka baharu paling tinggi berbanding pilihan raya-pilihan raya terdahulu.

“BN ini parti sejarah. Kita bukan parti baharu yang kitar semula calon sama. Kita lahirkan pemimpin setiap tahun. Sebab itu dalam PRN Sabah ini, 80 peratus daripada 45 kerusi yang BN tandingi adalah muka baharu,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen BN yang hanya menampilkan calon tempatan untuk bertanding di Sabah, kerana rakyat negeri itu wajar diberi sepenuhnya hak memilih dan menentukan pemimpin mereka sendiri. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN