KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah mengemukakan roadmap atau peta hala tuju untuk menangani masalah air dan elektrik di negeri ini yang belum diselesaikan.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, antaranya BN mahu melaksanakan projek air fast track kepada tempoh 12 dan 18 bulan dengan iltizam melaksanakan mekanisme fast-track procurement bagi projek air kritikal supaya proses reka bentuk, tender dan kelulusan dapat segera disiapkan bukannya bertahun-tahun seperti di bawah Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Katanya, pendekatan ini juga mengelakkan peningkatan kos tidak munasabah seperti kes Projek Kogopon.
“Selain itu, BN akan menubuhkan Unit Penyampaian Projek (PDU) di bawah Pejabat Ketua Menteri bagi memantau tender, pembiayaan dan isu tanah projek strategik. PDU akan menghapuskan kelewatan akibat decision paralysis serta menyelaras jabatan teknikal yang selama ini melambatkan banyak projek negeri.
“Berhubung Reformasi Pengurusan SESB dan Grid Elektrik. Dengan kuasa kawal selia elektrik dipindahkan kepada Sabah pada Januari 2024, BN menyusun semula Lembaga Pengarah SESB berasaskan kepakaran teknikal.
“Ia memberi keutamaan kepada pelaburan grid jangka panjang termasuk Southern Link dan menjamin kestabilan bekalan elektrik dalam tempoh lima hingga lapan tahun,” katanya dalam kenyataan.
Suhaimi berkata, masalah bekalan air dan elektrik yang dibangkitkan bukan disebabkan seseorang individu semata-mata tetapi daripada isu sistemik dan kelemahan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, birokrasi Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang terlalu kompleks, proses perolehan yang perlahan dan berlapis serta penyelarasan Bersama pembiayaan Persekutuan telah lama menjejaskan projek kritikal.
“Ia ditambah lagi apabila isu-isu ini tidak dapat ditangani kerana kelemahan kepimpinan politik GRS dalam mentadbir sehingga menyebabkan berlakunya keputusan tergantung terhadap projek-projek besar.
“Ini menunjukkan masalah tersebut bukan berpunca daripada seorang menteri, tetapi daripada kegagalan kepimpinan utama GRS mengurus kerajaan gabungan dengan efektif,” katanya.
Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, taktik menuding jari ke arah orang lain dilihat taktik politik yang sudah dijangka apabila mereka gagal.
Katanya, walaupun GRS memilih untuk menuding jari, BN hadir dengan rangka kerja jelas untuk mempercepatkan pembangunan infrastruktur Sabah. – UTUSAN











